Seorang murid Tahun Lima dilaporkan terjatuh dari bangunan sebuah sekolah di Batu Berendam, Melaka sebelum dikejarkan ke hospital dalam kejadian pada Rabu.
Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu dipercayai terjatuh dari koridor bangunan sekolah ketika cuba mengambil kasutnya yang dilempar seorang murid lain ke atas bumbung sekolah berkenaan.
Memetik laporan Sinar Harian, sumber berkata, kejadian berlaku kira-kira waktu tengah hari ketika semua murid sedang bersiap untuk pulang dari sekolah.
“Murid yang terjatuh itu dipercayai cuba mengambil semula kasutnya yang dicampak ke atas bumbung sebelum tergelincir dan jatuh,” katanya.
Baca juga:
- NRES sedia beri kerjasama penuh siasatan SPRM isu pemindahan gajah ke Jepun
- Mufti Kelantan tegur kaedah promosi pakaian dalam wanita bertudung
- PU Syed kesal 20kg daging korban berbau dihantar ke Madrasah
Difahamkan, cuaca hujan ketika kejadian menyebabkan keadaan lantai dan permukaan bumbung menjadi basah serta licin.
Bagaimanapun, keadaan terkini mangsa masih belum diketahui.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan.
Insiden berkenaan juga mendapat perhatian Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin yang mendoakan kesembuhan buat murid berkenaan.








