Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Muhammad Faris Johari telah dilantik sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 menerusi Istiadat Kerapatan di Telaga Undang yang berlangsung pada 22 April lalu.
Pelantikan itu diputuskan secara muafakat (konsensus) oleh Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu serta Waris-waris Klana Hulu, berasaskan amalan adat teradat iaitu berkeadilan, berundang, bersalasilah dan berteromba.
Istiadat berkenaan turut disaksikan oleh Ibu Soko Waris Negeri, Waris Negeri, Datuk Lembaga Lingkungan, To’ Buapak Lingkungan dan pegawai-pegawai kerajaan.
Menurut kenyataan media berkenaan, pemilihan dibuat mengikut salasilah sebagaimana termaktub dalam Fasal ke-27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910 serta hukum adat ‘patah tumbuh’ di bawah Fasal 5 Undang-Undang Sungei Ujong.
Pelantikan tersebut turut disahkan di bawah Fasal 48 (VI) Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910 oleh Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim Tua Lembaga Waris di-Darat yang diiktiraf Kerajaan Negeri Sembilan.
“Aturan adat menjadikan YTM Dato’ Klana Petra dibuat tanpa campur tangan pihak luar, selaras Fasal 14 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” jelas kenyataan itu.
Baca juga:
- Pendakwah tegur video tular pempengaruh review makanan
- Wanita warga emas maut dipercayai ditetak
- Muhammad Faris Johari dilantik Undang Luak Sungei Ujong baharu
Berkhidmat sebagai Akauntan
Muhammad Faris yang lahir pada 30 Oktober 1997 merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan memiliki kelayakan profesional Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) pada 2022. Beliau kini berkhidmat sebagai akauntan di firma antarabangsa Marsh.
Beliau ialah anak kedua kepada Johari Meor Ngah dan Shazlina Datuk Sinda Maharaja Haji Abd Karim, serta berketurunan beberapa tokoh Undang Luak Sungei Ujong dan Jelebu melalui salasilah keluarga.
Muhammad Faris telah mendirikan rumah tangga dengan Sharifah Amirah binti Ir Syed Ismail Ash-Shahab pada 20 April 2024.
Krisis Negeri Sembilan
Terdahulu, Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan tindakan Datuk Mubarak yang menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Ahad di Balai Undang Luak Sungai Ujong adalah tidak sah serta tidak diiktiraf.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu kerana beliau tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungai Ujong susulan pemberhentiannya yang dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungai Ujong sejak 13 Mei 2025.









