Isu hutang antara pelajar bertukar menjadi insiden keganasan apabila seorang remaja lelaki berusia 13 tahun cedera selepas dipukul sekumpulan pelajar lain dalam kejadian berhampiran Pejabat Majlis Ugama Islam Pahang, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian pipi kanan selepas diserang oleh beberapa pelajar berusia antara 13 hingga 16 tahun.
Difahamkan, mangsa sebelum itu pergi ke sebuah pondok di lokasi berkenaan untuk bertemu salah seorang suspek berhubung isu hutang.
Bagaimanapun, pertemuan tersebut bertukar tegang apabila berlaku pertengkaran antara mereka. Situasi kemudian bertukar ganas apabila seorang pelajar berusia 14 tahun bertindak menolak, menumbuk dan menendang mangsa.
Baca juga:
- RTM, Astro perkukuh kerjasama perluas akses kandungan berkualiti kepada rakyat
- ‘Saya tidak akan berhenti berjuang’ – Haim Hilman
- ‘Pembaikan bumbung SK Bukit Raya bermula hujung minggu ini’ – ADUN Dusun Tua
Beberapa rakan lain yang berada di lokasi turut terlibat dalam serangan tersebut memukul mangsa.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Pekan bagi pemeriksaan lanjut.
“Bertindak atas maklumat, enam pelajar terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan kira-kira jam 1.30 pagi pada Rabu untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jamin polis,”katanya.
Sumber: Sinar Harian








