Isu cadangan membenarkan penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor mencetuskan perhatian selepas ia dibangkitkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.
Memetik laporan Sinar Harian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki berkata, cadangan tersebut dikemukakan berdasarkan pandangan sebahagian penduduk di kawasannya dan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat.
“Ini adalah tanggungjawab saya sebagai ADUN, jadi apa-apa isu berkaitan rakyat, kita bawa ke Sidang Dewan,” katanya.
Siew Ki turut menyatakan beliau bersedia berdepan sebarang tindakan susulan cadangan itu, termasuk jika dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor.
“Saya sudah sampaikan dalam Dewan. Perkara lain bukan tanggungjawab saya dan tak mahu komen lanjut,” ujarnya.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Terdahulu, ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, beliau mencadangkan kerajaan negeri mempertimbangkan penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor dengan mengambil kira prinsip kesamarataan warganegara di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin telah mengemukakan usul tergempar untuk merujuk Siew Ki ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung isu tersebut.








