Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki tampil memohon maaf susulan video tular yang memaparkan kata-kata cemuhannya terhadap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhubung kebakaran di Kampung Bahagia, yang mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Rozaizar Rozainie yang juga mangsa kebakaran mengakui bahawa dirinya tidak dapat mengawal emosi ketika kejadian berlaku sehingga mengeluarkan kata-kata yang kurang sesuai.
Menurutnya, beliau kini menyedari pengorbanan dan usaha gigih anggota bomba yang bertungkus-lumus mengawal kebakaran serta membantu penduduk terjejas.
“Saya faham keadaan ahli bomba yang begitu bertungkus-lumus mengawal kebakaran dan memberi perhatian kepada masyarakat di Sandakan. Mereka banyak membantu dan banyak berkorban dalam menangani kejadian ini,” katanya.
Rozaizar turut menegaskan bahawa beliau menarik semula kenyataan yang pernah dilontarkan sebelum ini serta memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan.
“Emosi saya tidak dapat dikawal ketika itu. Lontaran perkataan saya tidak baik, dan saya mohon maaf serta menarik semula kata-kata tersebut,” jelasnya.
Baca juga:
- Lelaki hina anggota bomba Sandakan mohon maaf
- KPDN Kelantan siasat peniaga caj RM30 baiki kalkulator masuk air
- Pemandu e-hailing dihukum penjara sebulan, curi barangan keperluan harian
Dalam masa sama, beliau mengakui menerima segala kecaman yang dilemparkan oleh netizen dengan hati terbuka.
“Saya hanyalah manusia biasa. Saya mohon maaf dan menarik semula kata-kata yang saya lontarkan kepada netizen melalui video yang tular itu. Saya juga menerima segala tomahan dengan hati terbuka,” ujarnya lagi.
Beliau turut berharap agar isu berkenaan tidak lagi diperbesarkan, mengambil kira keadaan semasa yang sedang dihadapinya.
“Saya mohon agar perkara ini tidak lagi diperbesarkan memandangkan keadaan kami sekarang. Sekali lagi, saya mohon maaf,” katanya.
Terdahulu, rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan suasana tegang apabila orang ramai menjerit dan mengarahkan anggota bertugas beredar sebaik jentera tiba di lokasi, selain melabel mereka sebagai tidak berguna.
Keadaan bagaimanapun berjaya dikawal selepas campur tangan pihak polis yang meleraikan situasi tersebut.
Susulan itu juga,seorang anggota bomba menerusi hantaran di Facebook meluahkan rasa kecewa dengan kata-kata hinaan yang dilemparkan dan menjelaskan situasi sebenar yang berlaku ketika itu.









