Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan tampil memberikan penjelasan berhubung situasi sebenar yang dihadapi pasukan itu ketika operasi memadam kebakaran besar di Kampung Bahagia, baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan yang dikongsikan, anggota terbabit meluahkan rasa terkilan apabila pasukan bomba menerima pelbagai cemuhan daripada segelintir individu di lokasi kejadian, termasuk dilabel dengan kata-kata kesat seperti ‘macam Israel’, ‘jahannam’ dan didakwa tidak berada di tempat kejadian.
Menurutnya, pihak bomba bagaimanapun memilih untuk memaafkan kata-kata tersebut kerana memahami keadaan emosi penduduk yang panik dan tertekan ketika berdepan situasi cemas kehilangan tempat tinggal.
“Kami tidak perlukan pujian atau penghargaan. Cukuplah kami kerahkan segala kudrat untuk membantu mengawal dan memadam kebakaran serta memastikan api tidak merebak, namun keadaan dan situasi ketika itu sangat mencabar,” katanya.
Beliau menjelaskan, anggota bomba telah berada di lokasi sejak awal kejadian dan bertungkus-lumus melawan kebakaran tanpa menghiraukan keselamatan diri. Namun, kekangan seperti sumber air terhad serta penggunaan maksimum hos dan pam menyukarkan usaha memadam api sepenuhnya.
Tambahnya lagi, usaha turut dilakukan untuk mendapatkan akses air dari kawasan IOI, namun keadaan di lapangan tidak mengizinkan untuk menyalurkan bekalan ke semua lokasi yang terjejas.
Baca juga:
- KPDN Kelantan siasat peniaga caj RM30 baiki kalkulator masuk air
- Pemandu e-hailing dihukum penjara sebulan, curi barangan keperluan harian
- Dihina dan dicemuh, anggota Bomba Sandakan kongsi situasi sebenar
Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penduduk kampung yang tidak putus-putus membantu pasukan bomba sepanjang operasi dijalankan, selain berharap mereka dapat menjadi saksi terhadap usaha yang telah dilakukan.
“Terima kasih juga pada orang-orang kampung yang tidak putus-putus membantu kami pada masa itu. Kita sudah cuba yang terbaik tapi Allah SWT sebaik baik menentukan segala galanya.
“Dari awal kejadian kami sudah di dalam kebakaran api rumah, tapi maafla kami tidak bawa handphone untuk buat live dan buat konten untuk membuktikan kami sedang berlawan menahan panas api yang sedang membakar rumah,” jelasnya.
Sementara itu, rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan suasana tegang apabila orang ramai menjerit dan mengarahkan anggota bertugas beredar sebaik jentera tiba di lokasi, selain melabel mereka sebagai tidak berguna.
Keadaan bagaimanapun berjaya dikawal selepas campur tangan pihak polis yang meleraikan situasi tersebut.
Terdahulu, kebakaran besar yang berlaku pada Ahad lalu di Kampung Bahagia, Sandakan telah memusnahkan kira-kira 1,000 rumah atas air, sekali gus menyebabkan seramai 9,007 penduduk hilang tempat tinggal dalam tragedi berkenaan.









