Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mencadangkan agar penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat berakhir serta sehingga pembinaan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
Memetik laporan Harian Metro, Baginda bertitah, penganjuran temasya sukan berskala besar itu memerlukan peruntukan kewangan yang sangat tinggi, sekali gus wajar diteliti semula dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.
“Dalam keadaan ekonomi semasa, Beta berpandangan bahawa adalah lebih wajar penganjuran itu ditangguhkan sehingga krisis di ‘Middle East’ selesai dan sehingga Stadium Shah Alam siap sepenuhnya,” titah baginda.
Pada masa sama, Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar Piala Sultan Selangor bagi perlawanan bola sepak tahunan antara Selangor dan Singapura pada tahun 2026 dibatalkan.
Baca juga:
- Sultan Selangor cadang SUKMA Selangor ditangguhkan
- Cikgu kongsi pengalaman di sekolah terapung, bantu anak orang asli akses pendidikan
- ‘Pengisytiharan turunkan Tuanku Muhriz tidak diiktiraf’ – MB Negeri Sembilan
Bagaimanapun, baginda berkenan agar satu kejohanan baharu iaitu Piala Jubli Perak dianjurkan khusus untuk pelajar bawah 15 tahun antara daerah di seluruh Selangor. Inisiatif itu bertujuan memupuk bakat muda serta menyemai semangat kesukanan di peringkat akar umbi.
SUKMA XXII Selangor 2026 sebelum ini dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026, dengan pelaksanaan 474 acara melibatkan 37 jenis sukan. Sebanyak 53 venue di sembilan daerah di Selangor telah dirancang digunakan termasuk institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan swasta serta Velodrom Nasional di Negeri Sembilan.









