Seorang wanita yang dipercayai merempuh dua pelajar di hadapan surau sebuah sekolah hingga mengakibatkan seorang pelajar Tingkatan Satu maut, dibawa ke mahkamah pagi ini bagi tindakan lanjut.
Suspek berusia 57 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret kira-kira jam 8.40 pagi dengan menaiki trak polis dan dilihat memakai pakaian lokap.
Memetik laporan Berita Harian, wanita berkenaan yang merupakan seorang pendidik akan direman bagi membantu siasatan, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, kejadian dilaporkan berlaku tengah hari semalam apabila dua pelajar dilanggar sebuah kenderaan di hadapan surau sekolah berkenaan. Insiden itu mengakibatkan seorang pelajar maut, manakala seorang lagi parah.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu kereta dipercayai tertekan pedal minyak ketika berada dalam kawasan sekolah sebelum hilang kawalan dan terbabas.
Dalam kejadian kira-kira 1.50 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi pelajar kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.








