Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Selepas lebih enam tahun menyepi, nama pelakon Azar Azmi kembali menjadi sebutan ramai susulan kontroversi membabitkan dakwaan penipuan baru-baru ini.
Kemunculan semula pelakon itu di kaca televisyen dalam keadaan bergari nyata mengejutkan ramai, sekali gus mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.
Bagaimanapun, dalam satu temuramah eksklusif bersama program Melodi, Azar tampil menjelaskan situasi sebenar yang dihadapinya.
Menurut Azar, dia tidak pernah mengumumkan untuk berhenti berlakon, sebaliknya memilih untuk memperlahankan kerjaya seni selepas mendirikan rumah tangga demi menghormati keputusan keluarga mertua.
Dalam masa sama, Azar mengakui kehidupannya selepas berkahwin tidak seindah yang diimpikan, malah terpaksa bertahan demi anak-anak.
“Saya tengok pasangan lain, saya cemburu. Tapi saya lebih fokus menjaga anak-anak. Saya tak nak keluarga saya gagal… saya nak pertahankan sampai mati,” luahnya.
Baca juga:
- Zynakal luah rasa kecewa isu lagu AI, harap karya artis tempatan lebih dihargai
- Izreen Azminda syukur, pertikaian dengan Intan Salleh berakhir secara damai
- Amira Othman umum hamil 30 minggu
Persepsi negatif
Mengulas mengenai penahanan dirinya, Azar berkata dia terkejut apabila pihak berkuasa datang menahannya tanpa sebarang jangkaan awal.
“Saya tak tahu langsung mereka nak datang ambil saya. Enam bulan sebelum itu, saya tak ada telefon. Saya terputus hubungan dengan dunia luar,” jelasnya.
Tambahnya lagi, dia telah melalui proses reman dan siasatan seperti prosedur biasa, namun masih berdepan pelbagai persepsi negatif.
“Orang tetap bercakap… ‘macam mana boleh lepas?’ Itu kita tak boleh nak halang,” katanya.
Kehidupan tak seiring dakwaan
Menyentuh dakwaan kononnya dia terlibat dalam penipuan melibatkan jumlah wang besar, Azar menafikan kehidupan sebenarnya seiring dengan tuduhan tersebut.
Malah, dia mendedahkan pernah melalui fasa hidup yang sukar sehingga terpaksa meminta bantuan rakan artis untuk keperluan anak.
“Saya pernah berniaga durian, jual cucur, goreng sendiri. Kalau betul saya buat dan guna duit tu, saya puas hati. Tapi realitinya tak macam yang ditulis,” katanya.
Dalam nada sebak, Azar turut berkongsi detik hitam ketika berada dalam tahanan yang disifatkan sebagai pengalaman paling perit dalam hidupnya.
“Saya tak ada sesiapa, tak ada tempat nak mengadu. Saya cuma ada diri sendiri dan doa. Saya minta Tuhan tunjuk siapa betul, siapa salah,” ujarnya.
Malah, dia mengakui pernah berada di tahap paling rendah dalam hidup sehingga hampir berputus asa.
“Saya penat… sampai rasa macam nak mengalah. Tapi saya kena kuat demi anak-anak,” katanya.
Walaupun berdepan pelbagai ujian, Azar bersyukur kerana masih mempunyai sokongan keluarga terdekat yang menjadi sumber kekuatannya untuk bangkit semula.
“Saya ada kakak dan adik-adik yang sangat supportive. Mereka bagi semangat pada saya,” katanya.
Hargai sokongan orang ramai
Dalam masa sama, dia turut menghargai sokongan orang ramai yang tidak dikenali namun tetap memberikan kata-kata positif kepadanya.
Azar berharap agar orang ramai terus mendoakan yang terbaik buat dirinya dan memberi ruang untuk dia membina semula kehidupan.
“Untuk bangkit semula ni, memang kena mula dari bawah. Kehidupan sekarang kosong, tapi saya kena teruskan juga,” katanya.








