Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis kini giat mengesan seorang lelaki yang menyerang seorang pemandu dan merosakkan kenderaan di tepi jalan Kampung Bukit Senggeh, Selandar, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert, berkata mangsa, seorang lelaki berusia 35 tahun, telah membuat laporan polis selepas dipukul oleh suspek yang tidak dikenali.
Menurut siasatan awal, insiden bermula apabila mangsa menyedari sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna biru berada di belakang kenderaannya dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika motosikal berkenaan memotong di sebelah kanan, pengadu membuka tingkap untuk menegur suspek. Teguran itu menyebabkan suspek berpatah balik dan bertindak agresif,” jelasnya.
Baca juga:
- Sin Sing Coffee tepis dakwaan terkait isu peralatan tidak halal
- TNB nafi dakwaan kenaikan tarif elektrik mulai April
- Kes pukul dalam kem: Anggota tentera parah, Koperal ditahan
Suspek kemudian menendang pintu bahagian pemandu dan menghentam pintu serta cermin tingkap kereta menggunakan topi keledar.
Mangsa yang cuba keluar dari kenderaan turut mengalami kecederaan ringan pada lengan kanan akibat terkena hayunan topi keledar. Isteri mangsa yang berada dalam kereta bersama anak-anak sempat merakam video kejadian, walaupun rakaman tersebut tidak begitu jelas kerana ketakutan.
“Wajah suspek jelas kelihatan dalam rakaman, namun semakan melalui sistem pengecaman wajah masih belum menemui padanan,” tambah Lee Robert.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Ainul Shahirah Shaharuddin di talian 012-467 1531 atau IPD Jasin di 06-529 2222 (sambungan 378), atau mana-mana balai polis berdekatan.
Sumber: Berita Harian, Melaka First








