Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tindakan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menghulurkan bantuan kepada sebuah keluarga menarik perhatian ramai dan meraih pujian.
Sepasang suami isteri bersama tiga anak menaiki sebuah motosikal menarik perhatian pegawai JPJ kerana keadaan itu dilihat berisiko. Tanpa berlengah, mereka menjemput keluarga tersebut untuk menaiki kereta peronda JPJ dan dibawa ke destinasi dengan selamat.
Riak wajah anak-anak berubah sekelip mata. Daripada hanya menunduk di atas motosikal, mereka kini memandang ke luar tingkap, memerhati pemandangan luar sambil berkongsi cerita.
Sesampainya di destinasi, keluarga tersebut menuruni kenderaan dengan senyuman lebar dan melambaikan tangan kepada pegawai JPJ sebagai tanda terima kasih. Tindakan kecil ini bukan sahaja memastikan keselamatan mereka, tetapi juga meninggalkan kenangan manis yang akan terpahat dalam ingatan anak-anak.
Baca juga:
- JPJ Selangor raih pujian, tumpangkan sebuah keluarga naiki kereta peronda
- Tiada tol di Selat Hormuz, Iran jamin laluan selamat kapal Malaysia
- ‘Tiada kompromi terhadap pemandu bawah pengaruh alkohol’ – Anthony Loke
JPJ Selangor bukan sahaja menjalankan tanggungjawab, tetapi juga menyemai senyuman di hati masyarakat yang memerlukan. Video momen itu yang dikongsikan di TikTok turut membuat netizen sayu, mengimbas kembali pengalaman mereka sendiri sewaktu kecil.
“Menitis air mata teringat kenangan mak dan bapa dulu. Beginilah kami empat beranak naik motor EX5. Kenangan yang mengajar erti sebuah kehidupan,” tulis seorang pengguna.
Dalam hantaran berkenaan juga, JPJ memaklumkan pihaknya sentiasa komited dan prihatin dengan kebajikan awam.
“JPJ sentiasa komited dan prihatin terhadap kebajikan orang awam tanpa mengira keadaan, lebih-lebih lagi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Kami terus berusaha memastikan keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” katanya.









