Tiada tol di Selat Hormuz, Iran jamin laluan selamat kapal Malaysia | The Reporter

Tiada tol di Selat Hormuz, Iran jamin laluan selamat kapal Malaysia

Kapal tangki Malaysia berlayar di Selat Hormuz, dijamin laluan selamat oleh Iran.
Gambar: HarakahDaily

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Tiada bayaran tol akan dikenakan terhadap kapal-kapal Malaysia yang melalui Selat Hormuz, menurut jaminan pihak Iran susulan laporan tular mengenai perkara itu.

Memetik laporan New Straits Times, Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi, berkata kapal Malaysia dibenarkan melalui laluan strategik berkenaan tanpa sebarang caj kerana hubungan baik antara kedua-dua negara.

“Malaysia adalah negara sahabat, dan negara sahabat boleh menggunakan selat ini. Sudah tentu kami tidak akan mengenakan bayaran,” katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kehadiran beberapa kapal Malaysia di Teluk Parsi serta hasrat untuk melalui Selat Hormuz dan perkara itu telah dipertimbangkan secara positif oleh Tehran.

Terdahulu, Menteri Luar, Mohamad Hasan, memaklumkan tujuh kapal tangki milik Malaysia sedang menunggu kebenaran untuk melalui selat berkenaan.

Kapal-kapal tersebut melibatkan tiga milik Petronas, dua milik MISC Berhad, serta masing-masing satu milik Sapura Energy dan Shapadu Corporation. Empat daripadanya dilaporkan membawa muatan minyak mentah.

Menurut Mohamad, kapal-kapal itu tidak ditahan, sebaliknya hanya menunggu isyarat rasmi untuk meneruskan pelayaran.

Baca juga:
Sekatan kapal negara-negara tertentu

Sekatan pergerakan kapal di Selat Hormuz berlaku selepas Iran mengehadkan laluan sebagai tindak balas terhadap serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel kira-kira sebulan lalu.

Bagaimanapun, Valiollah menegaskan Selat Hormuz tidak ditutup sepenuhnya, sebaliknya hanya dikenakan sekatan terhadap negara tertentu yang terlibat atau menyokong serangan ke atas Iran.

“Ia tidak ditutup. Ia hanya disekat untuk sesetengah pihak, bukan semua,” katanya.

Sebelum ini, tular dakwaan bahawa Iran mengenakan bayaran tol kepada kapal yang melalui Selat Hormuz, dengan caj dilaporkan mencecah sehingga AS$2 juta (RM7.9 juta) bagi setiap pelayaran.

Related Posts