Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan negeri Perak memberi jaminan bahawa kebajikan tiga ekor gajah, Dara, Amoi, dan Kelat, yang dihantar dari Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) ke Tennoji Zoo, Jepun, akan dipantau rapi bagi memastikan haiwan berkenaan sentiasa berada dalam keadaan selesa dan selamat.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching, menjelaskan bahawa penghantaran gajah ini merupakan hasil kerjasama yang dibincangkan sejak 2022. Minat Tennoji Zoo untuk mendapatkan gajah dari Malaysia telah diselaraskan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama pihak pengurusan ZTNS.
“Beberapa siri perbincangan termasuk lawatan Perhilitan ke Osaka telah dijalankan untuk menilai kemudahan di zoo berkenaan dan memastikan ia bersesuaian. MoU (perjanjian persefahaman) juga telah ditandatangani sebelum ini, membawa kepada penghantaran tiga gajah tersebut,” kata Sandrea.
Baca juga:
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
Menurut beliau, wakil ZTNS dijangka membuat lawatan ke Tennoji Zoo sekitar April depan untuk memeriksa keadaan gajah dan menandatangani MoU susulan bagi memperkukuh kerjasama dua hala. Kerjasama ini juga melibatkan pertukaran haiwan, di mana ZTNS dijangka menerima haiwan daripada Tennoji Zoo selepas penghantaran gajah.
Sandrea menegaskan bahawa ZTNS bersama Perhilitan sentiasa menekankan aspek kebajikan haiwan sepanjang kerjasama ini.

Terdahulu, tular di platform Threads apabila ramai netizen membantah penghantaran ketiga-tiga gajah tersebut ke Jepun. Petisyen dalam talian turut dikemukakan sebagai tanda protes dan sehingga kini lebih 28,000 orang menyokong petisyen berkenaan, menunjukkan kebimbangan mereka terhadap kebajikan mamalia ini.
Sumber: Sinar Harian








