Lelaki dipenjara 22 bulan, sepak dan campak anak kucing hingga mati | The Reporter

Lelaki dipenjara 22 bulan, sepak dan campak anak kucing hingga mati

Lelaki dipenjara 22 bulan sepak, campak kucing hingga mati
Gambar hiasan

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 22 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah menyepak dan mencampak seekor anak kucing sehingga mati.

Tertuduh, Mohd Daniel Hakim Abdullah, 40, yang merupakan seorang mekanik, didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang memperuntukkan denda RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Difahamkan, tertuduh tidak membayar denda dan akan menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Menurut kertas pertuduhan, kejadian berlaku antara jam 4.50 hingga 5 pagi pada 3 Oktober 2025 di hadapan sebuah unit Pangsapuri Melati, Seksyen U16, Shah Alam.

Baca juga:

Rakaman CCTV tular menunjukkan Mohd Daniel memasukkan dua ekor kucing ke dalam beg kitar semula sebelum mencampak ke lantai dan menyepaknya. Disebabkan insiden berkenaan, anak kucing mengalami retak tengkorak, pendarahan paru-paru dan patah tulang rusuk.

Peguam, Amirah Badriyah Azahar, memohon hukuman penjara singkat kerana tertuduh mempunyai pendapatan RM1,700 sebulan sebagai mekanik, menanggung isteri yang tidak bekerja, bayi berusia tujuh bulan, serta bapa berusia 70 tahun. Selain itu, Mohd Daniel mengalami tekanan kesihatan seperti darah tinggi dan migrain kronik.

Dalam hujahnya, peguam menjelaskan bahawa beberapa kucing liar sering membuang najis di hadapan rumah Mohd Daniel dan usaha membersihkan najis tersebut menimbulkan konflik dengan jiran. Tekanan berterusan itu dikatakan menyebabkan Mohd Daniel hilang kawalan emosi sebelum bertindak kejam terhadap anak kucing berkenaan.

Sumber: Harian Metro

Related Posts