Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), S. Vikneswaran, 21, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mencemarkan al-Quran dan membuat hantaran komunikasi jelik melampau di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini. Pengakuan dibuat di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.
Vikneswaran dilaporkan tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuantan kira-kira jam 8.50 pagi dengan menaiki kenderaan polis di bawah kawalan keselamatan ketat.
Vikneswaran, pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana memijak al-Quran dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu merupakan penghinaan terhadap agama Islam.
Dia turut didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Threads.
Seksyen 295 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali. Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi satu kenyataan memaklumkan, hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan polis mendapati terdapat keterangan mencukupi untuk mendakwa suspek.
Kes ini bermula apabila pelajar itu ditahan pada 25 Februari lalu bagi membantu siasatan berhubung insiden memijak al-Quran. Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, dilaporkan berkata, sebanyak 82 laporan diterima di seluruh negara berkaitan kes ini, dan hasil siasatan menunjukkan terdapat keterangan mencukupi untuk mencadangkan pertuduhan terhadap suspek.
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian








