Suspek pijak Al-Quran sempat mohon maaf di media sosial sebelum ditahan | The Reporter

Suspek pijak Al-Quran sempat mohon maaf di media sosial sebelum ditahan

Suspek pijak Al-Quran sempat mohon maaf di media sosial sebelum ditahan polis
Suspek pijak Al-Quran sempat mohon maaf di media sosial sebelum ditahan polis susulan siasatan pihak berkuasa terhadap kes menghina agama

Seorang penuntut universiti awam yang sebelum ini tular kerana memuat naik gambar memijak Al-Quran tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di media sosial, dengan mengakui kesilapan serta menzahirkan kekesalan atas tindakannya.

Dalam beberapa hantaran yang dimuat naik, individu terbabit menyifatkan perbuatannya sebagai tidak beradab, tidak menghormati agama Islam serta berpunca daripada emosi tidak terkawal ketika itu.

Beliau turut memohon keampunan daripada umat Islam dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama pada masa hadapan.

Akui silap, emosi menguasai diri

Dalam kenyataannya, suspek mengakui bertindak dalam keadaan marah dan dipengaruhi perasaan dendam sehingga gagal berfikir secara waras dan tenang.

“Saya membiarkan emosi menguasai diri sehingga melakukan sesuatu yang sangat saya kesali sekarang,” katanya.

Beliau turut menyedari bahawa Al-Quran bukan sekadar sebuah buku, sebaliknya kitab suci yang dimuliakan serta menjadi pedoman hidup umat Islam.

Menurutnya, perbuatannya langsung tidak mencerminkan kematangan dan rasa hormat terhadap agama.

Baca juga:

Tanggungjawab penuh tanpa salahkan sesiapa

Suspek juga menegaskan bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan yang dilakukan dan tidak menyalahkan mana-mana pihak atas tindakannya.

Walaupun mengakui berada dalam keadaan emosi ketika kejadian, beliau menyatakan sepatutnya mengawal diri dan bertindak lebih bijak.

“Saya sepatutnya lebih berfikir sebelum bertindak,” katanya.

Beliau turut memadamkan hantaran berkenaan serta berjanji mengambil iktibar daripada kesilapan itu supaya tidak berulang.

Mohon keampunan, seru masyarakat beri ruang

Dalam hantaran terakhir, suspek sekali lagi memohon maaf kepada semua pihak yang terasa hati, marah dan kecewa akibat perbuatannya.

“Saya benar-benar memohon maaf dan memohon keampunan,” katanya.

Sebelum ini, individu terbabit direman empat hari bagi membantu siasatan polis susulan laporan dibuat berkaitan penghinaan terhadap Al-Quran yang tular di media sosial.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Related Posts