'Kecaman, serangan peribadi, saya abaikan saja' - Sanusi | The Reporter

‘Kecaman, serangan peribadi, saya abaikan saja’ – Sanusi

Sanusi mahu fokus memimpin Kedah, abaikan cemuhan.
Gambar: Facebook Muhammad Sanusi Md Nor.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan beliau tidak akan melayan pelbagai tuduhan dan serangan peribadi yang dilemparkan terhadapnya, sebaliknya memilih untuk terus fokus memimpin negeri.

“Orang serang saya, abaikan saja,” katanya.

Beliau berkata, keberaniannya bersuara secara terus terang menyebabkan dirinya menjadi perhatian dan kritikan pihak tertentu. Menurut Sanusi, suara yang menyanggah arus sering dipantau, diputarbelit, dan diserang, tetapi beliau tetap tidak gentar.

“Saya ini jadi ‘wanted’ di Malaysia kerana cakap benda betul. Kalau cakap benda yang orang nak dengar, tak jadi apa. Cakap benda betul walaupun menyanggah arus, itu penting dalam dunia hari ini,” katanya.

Beliau turut melahirkan kekesalan terhadap sikap Kerajaan Persekutuan yang dilihat tidak konsisten mempertahankan kebebasan bersuara, malah memberi tekanan terhadap suara yang tidak sehaluan. Sanusi menambah, wujud ‘pasukan khas’ yang memantau setiap ucapan dan ceramahnya sebelum memutarbelit kenyataan untuk menyerangnya.

“Ada team khas di sebelah sana. Tiap-tiap perkataan saya diperhati, dipilih dan kemudian dihentam. Tapi saya buat tak peduli. Kalau ambil peduli, kita tak boleh kata apa-apa. Jadi saya abaikan saja.

“Orang yang memang makan upah untuk menahan gelombang berasaskan kebenaran, itulah kerja mereka untuk beri tekanan kepada kita, putar belit kenyataan kita, kacau dan tuduh macam-macam,” ujarnya.

Baca juga:

Memetik laporan dari Urus Setia Penerangan Darul Aman, Sanusi dikatakan berdepan pelbagai serangan, termasuk isu lama pemberian tapak kuil, dakwaan bakal digulingkan oleh rakan sekutu dan usaha pihak tertentu merampas kembali Kedah. Namun, beliau menganggap cemuhan sebagai ‘makanan harian’ dunia politik.

Sanusi juga berkongsi pesanan bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, bahawa setiap cacian menjadi pahala bagi yang dizalimi. Beliau menegaskan, segala kecaman dan tuduhan akan diabaikan dan dijadikan pengajaran untuk terus melangkah ke hadapan.

“Anjing yang menyalak, kabilah teruskan perjalanan sampai ke destinasi,” ujarnya, sambil menekankan bahawa PAS akan terus berkembang dalam bidang politik, pendidikan, tarbiah dan kebajikan demi kesejahteraan dunia dan akhirat.

Related Posts