'Ramai lagi dalam ‘radar’ misi perangi rasuah – YDPA | The Reporter

‘Ramai lagi dalam ‘radar’ misi perangi rasuah – YDPA

Sultan Ibrahim bertitah mengenai misi memerangi rasuah
Gambar: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan amaran tegas bahawa lebih ramai individu kini berada dalam ‘radar’ Seri Paduka Baginda dalam misi memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan serta agensi kerajaan.

Baginda bertitah bahawa rasuah adalah satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan sama sekali tidak akan ditoleransi dalam pentadbiran negara.

Titah Baginda, usaha membanteras gejala itu tidak hanya tertumpu kepada segelintir jabatan atau individu tertentu, malah melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa dan badan berkaitan.

“Jangan ingat memerangi rasuah ini hanya bertumpu pada segelintir jabatan, atau mereka yang memberi dan menerima.., malah berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi.

“Tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,”titah Baginda.

Baca juga:

Baginda turut memberi peringatan bahawa tanpa mengira pangkat, termasuk ejen atau ‘orang tengah’ dan pembekal peralatan, pakaian serta perubatan, semuanya tidak terkecuali daripada pemantauan.

“Bah kata pepatah ‘siapa makan cili, dia terasa pedas’…, jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa, saya juga mempunyai risikan saya sendiri,” titah Baginda.

Baginda menegaskan, usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik kerana tiada siapa boleh terlepas daripada undang-undang.

Dalam pada itu, Baginda bertitah sekiranya terdapat pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan integriti, pertukaran perlu dilakukan tanpa berlengah.

“Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu,” titah Baginda lagi.

Related Posts