Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelakon dan penyanyi terkenal, Elly Mazlein mendedahkan pernah menolak tawaran lumayan bernilai RM500,000 kerana syarat yang ditetapkan menuntut dirinya menanggalkan tudung.
Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 46, berkata keputusan itu dibuat sejurus dia mula berhijab dan menganggap tawaran berkenaan bukan rezeki yang tertulis buat dirinya kerana tidak selari dengan prinsip hidup yang dipegang.
Memetik laporan Berita Harian, Elly atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Lina berkata, walaupun jumlah bayaran yang ditawarkan sangat tinggi, dia tetap berpegang teguh dengan keputusan untuk menutup aurat sepenuhnya.
“Memang lumayan sampai setengah juta ringgit, tetapi syaratnya saya perlu buka tudung. Bila saya buat keputusan untuk berhijab, walau dibayar macam mana sekali pun, saya tetap dengan keputusan saya,” katanya.
Baca juga:
- Elly Mazlein tolak tawaran RM500,000 demi kekal prinsip
- Pelakon lelaki ditahan reman, terpalit kes bahan terlarang
- 10 tahun bersama Sinar, Jep Sepahtu umum undur diri
Tambah penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu, tawaran berkenaan ditolak secara baik dan berhemah meskipun pihak terbabit dilihat bersungguh-sungguh mahu dia menerima pelawaan tersebut.
“Mereka tahu saya sudah bertudung, sebab itu mereka letakkan harga setengah juta. Tapi saya beritahu, saya tak dapat bekerjasama kalau perlu buka tudung.
“Sekiranya mereka mahu saya menjadi duta, prinsip saya tetap akan memakai tudung. Saya percaya akan ada rezeki di tempat lain,” jelasnya.
Elly turut menegaskan, setiap penolakan perlu dilakukan dengan cara yang beradab dan penuh hormat agar tidak menyinggung mana-mana pihak.
“Walau macam mana pun kita nak tolak tawaran, kita kena jawab dengan baik. Alhamdulillah, mereka terima keputusan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Elly menegaskan imej bertudung seharusnya tidak menjadi penghalang dalam dunia seni dan kerjaya, malah dia akan terus mempertahankan prinsip tersebut.









