Isu Rex Tan: Menteri minta orang ramai ‘move on’, jangan panjangkan polemik | The Reporter

Isu Rex Tan: Menteri minta orang ramai ‘move on’, jangan panjangkan polemik

Menteri mengingatkan orang ramai supaya move on dan tidak melampaui batas di media sosial susulan isu Rex Tan.
Media sosial bukan tempat ugutan. Bila undang-undang berjalan, masa untuk move on secara matang. | Sumber gambar: FB Saifuddin Nasution

Masyarakat diminta untuk ‘move on’ dan tidak terus memanjangkan polemik susulan isu melibatkan bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, khususnya sehingga menyasarkan ahli keluarganya di media sosial.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan bahawa orang ramai perlu lebih matang dan menghentikan sebarang ugutan atau kecaman melampau kerana proses undang-undang sedang berjalan. Beliau menekankan, reaksi berlebihan tidak membantu mana-mana pihak.

“Kita beri ingatan pada orang ramai supaya tidak berlebih-lebihan apalagi menggunakan platform media sosial untuk menyampaikan ugutan dan sebagainya,” katanya.

Baca juga:

Saifuddin turut mengingatkan masyarakat agar bergerak ke hadapan dan tidak terus terperangkap dengan emosi. Menurutnya, pendekatan terbaik ketika ini adalah memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa tekanan luar.

“Kita mesti ‘move on’ daripada peristiwa yang berlaku, itu harapan kita semua.

“Sebab melontarkan kata-kata ugutan tidak menguntungkan sesiapa, sebaliknya hanya mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Sebelum ini, Rex Tan dilaporkan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan susulan tiga laporan polis yang dibuat terhadapnya. Laporan berkenaan berkait dengan penularan rakaman video memaparkan beliau mengemukakan soalan kepada ahli politik United Kingdom, George Galloway, dalam satu wacana terbuka berkaitan isu Gaza.

Sumber: Buletin TV3

Related Posts