Seorang pesara berstatus penduduk tetap (PR) Singapura didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mempamerkan nombor pendaftaran bukan milik kenderaan bagi membolehkan pengisian minyak subsidi RON95.
Tertuduh, Long Sa Kow, 64, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret R Salini. Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara sembilan bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Ubah nombor pendaftaran untuk isi RON95
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan milik kenderaannya ketika memandu sebuah Volkswagen Jetta berwarna perak di sebuah stesen minyak di Batu 21 1/4, Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam, kira-kira jam 10.30 malam pada 2 Januari lalu.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Siasatan mendapati kenderaan itu sepatutnya menggunakan nombor pendaftaran SLJ 8967 M, namun huruf ‘S’ dan ‘M’ ditutup sehingga menyerupai LJ 8967 bagi membolehkan pengisian minyak subsidi RON95.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pesara, tiada pendapatan tetap
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli, merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum dengan mengambil kira tertuduh seorang pesara dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Beliau berkata, tertuduh menanggung seorang isteri yang juga suri rumah serta tiga anak, dengan dua daripadanya masih bersekolah, selain kesalahan itu merupakan kesalahan pertamanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya memohon hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran bagi memberi mesej tegas terhadap penyalahgunaan kemudahan subsidi.
Sumber: Berita Harian








