Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menzahirkan kesedihan mendalam atas pemergian sahabat karibnya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, yang kembali ke rahmatullah pada pagi Jumaat.
Dalam hantaran di media sosial, Zahid menyifatkan Bung Moktar sebagai seorang sahabat sejati yang sentiasa berada di sisi dalam setiap suka dan duka perjuangan politik.
“Luluh hati saya menerima khabar pemergian sahabat saya… Seorang insan yang sentiasa setia menemani di setiap waktu senang dan susah,” tulis beliau.
Zahid mengakui sukar mencari kata-kata bagi menggambarkan rasa kehilangan itu, namun beliau mendoakan agar segala dosa Allahyarham diampunkan serta amal baktinya diterima oleh Allah SWT.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas segala jasa Bung Moktar terhadap UMNO, Barisan Nasional dan rakyat Sabah yang amat menghormati kepimpinannya.
Baca juga:
- Pelajar UM maut kemalangan: Bapa rayu saksi kongsi video kejadian
- Mangsa kebakaran Putra Heights syukur terima rumah, tapi dakwa janji tak ditepati?
- Kru kabin AirAsia kini dibenarkan berhijab
“Ya Allah, ampunilah dosanya, terimalah segala amal baktinya, angkatlah darjat kebaikannya, dan kurniakanlah nikmat syurga-Mu yang abadi,” katanya lagi.
Ahmad Zahid turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan berharap mereka dikurniakan ketabahan serta kekuatan menghadapi kehilangan besar ini.
“Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan hamba-Mu yang beriman serta beramal soleh,” tambah beliau.

Pemergian Bung Moktar, yang dikenali sebagai suara lantang Kinabatangan dan antara pemimpin kanan UMNO Sabah, meninggalkan kekosongan besar dalam dunia politik negeri itu.








