Operasi pencarian MH370 dimulakan semula pada 30 Disember | The Reporter

Operasi pencarian MH370 dimulakan semula pada 30 Disember

Kementerian Pengangkutan mengumumkan semula operasi pencarian MH370.
Gambar: MOT

Kerajaan Malaysia menzahirkan komitmen berterusan dalam usaha mencari jawapan mengenai nasib pesawat Malaysia Airlines MH370 apabila mengumumkan operasi pencarian semula akan dimulakan oleh syarikat Ocean Infinity pada 30 Disember 2025.

Menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan (MOT), Ocean Infinity sudah mengesahkan bahawa operasi pencarian dasar laut akan dimulakan semula selama 55 hari, dan ia akan dijalankan secara berselang-seli.

“Pencarian akan dilaksanakan di kawasan sasaran yang dinilai mempunyai kebarangkalian tertinggi untuk mengesan pesawat, selaras dengan perjanjian perkhidmatan yang dimeterai antara kerajaan dan Ocean Infinity pada 25 Mac,” katanya.

Kementerian menegaskan bahawa langkah terkini ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memberikan penutup dan kelegaan kepada keluarga mangsa tragedi tersebut.

Baca juga:

Sebelum ini, pada 13 Disember lalu, kerajaan bersetuju menerima cadangan Ocean Infinity, sebuah syarikat dari United Kingdom, untuk memulakan pencarian di kawasan baharu seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi. Operasi ini akan dijalankan berdasarkan prinsip “no find, no fee”, di mana tiada bayaran akan dikenakan sekiranya bangkai pesawat tidak ditemui.

Terdahulu, MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, tetapi sehingga kini gagal dikesan. Usaha pencarian terdahulu oleh Ocean Infinity pada Januari 2018 di kawasan seluas 25,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi juga berakhir pada Jun 2018 tanpa sebarang hasil.

Sumber: Harian Metro, Kementerian Pengangkutan

Related Posts