Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Jemaah haji, Hajah Asmah Mansor, 71, yang sebelum ini dilaporkan mengalami komplikasi kesihatan selepas menunaikan ibadah haji, selamat tiba di tanah air malam ini menerusi penerbangan Air Ambulance dari Jeddah.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, beliau sendiri berada di Hospital Putrajaya bagi menyambut ketibaan wanita itu yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut.
Mohd Na’im berkata, perjalanan pulang Hajah Asmah bukan sesuatu yang mudah memandangkan beliau memerlukan alat ventilator secara berterusan sejak dimasukkan ke Saudi German Hospital di Makkah pada 13 September lalu.
“Pesawat berlepas pada 4.30 pagi waktu Arab Saudi dan berhenti seketika di Nagpur pada 10.40 pagi waktu India sebelum kembali terbang sejam kemudian. Alhamdulillah, pesawat mendarat tepat jam 8.15 malam di Subang, disambut penuh kesyukuran oleh ahli keluarga,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa beliau mengikuti rapat koordinasi misi tersebut sejak awal melibatkan Tabung Haji, pasukan perubatan Arab Saudi dan kru Air Ambulance sehingga pesawat mendarat di Malaysia.
“Saya merakamkan terima kasih kepada Tabung Haji dan Kerajaan Arab Saudi yang memastikan misi ini berjalan lancar. Ketibaan Hajah Asmah bukan sekadar satu misi perubatan tetapi sebuah perjalanan solidariti rakyat Malaysia,” tambahnya.
Baca juga:
- Mulai 15 Februari, TikTok Shop kenakan caj RM0.50 bagi setiap pesanan berjaya
- Kelab Bola Sepak Selangor FC kesal insiden penyokong di Jambatan Angkat
- ‘KL Gangster akan kuasai pilihan raya Datuk Bandar KL?’ – Puad Zarkashi
Setibanya di Hospital Putrajaya, pasukan perubatan telah bersedia untuk menerima pesakit dan memberikan rawatan rapi. Mohd Na’im turut melahirkan penghargaan kepada seluruh anggota perubatan yang bertugas dengan penuh profesionalisme dan sifat kemanusiaan.
Sebelum ini, kira-kira RM500,000 diperlukan bagi menampung kos membawa pulang Hajah Asmah susulan keperluan penggunaan ventilator secara berterusan termasuk ketika penerbangan pulang ke Malaysia. Kos besar itu berdasarkan penilaian doktor pakar di Arab Saudi dan pegawai perubatan Tabung Haji.
Dalam masa sama, Mohd Na’im berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan, menyumbang serta membantu menjayakan usaha memastikan jemaah berkenaan dapat dibawa pulang dengan selamat.
Hajah Asmah sebelum ini disahkan menghidap pneumonia dan dirawat di ICU Saudi German Hospital sejak tiga bulan lalu. Kini, beliau menerima rawatan susulan di Hospital Putrajaya.








