“Maafkan kami rakyat Malaysia. Jika kami lewat respon bila kalian memerlukan perkhidmatan ambulans. Kami juga tersepit di antara sistem baru yang diperkenalkan.”
Itu antara luahan petugas ambulans yang mendakwa mereka kini berdepan kesukaran selepas pelaksanaan sistem digital baharu Next Generation Emergency Response Services 999 (NG MERS 999).
Dalam hantaran tular berkenaan, petugas itu memaklumkan mereka melalui pengalaman menyedihkan apabila dimaklumkan seorang pesakit terpaksa menunggu ketibaan ambulans lebih tiga jam.
“Sejak berubah ke sistem NG999, serba tak kena. Bila sampai rumah pesakit, rupanya sudah tiga jam lebih pesakit menunggu ambulans tiba. Rasa bersalah dan sedih melihat keadaan pesakit,” katanya.
Dakwaan itu turut disokong oleh individu lain menerusi ruangan komen.
“Aku dah kena semalam. Kesian auntie India tu sampai meninggal emaknya dekat rumah. Berpuluh kali call 999 tak angkat. Last dia call kami ambulans swasta. Kami sampai emaknya dah meninggal,” kata Are-Ngah93.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Luahan sama turut disuarakan oleh seorang individu dipercayai petugas kesihatan yang mendakwa sistem yang digunakan menyukarkan masyarakat terutamanya di kawasan Sabah dan Sarawak.
“Guna apps nak ada line, tapi kebanyakan kawasan tak ada line untuk masuk sistem. Kadang-kadang tersalah lokasi. Pesakit call dari Sabah tapi callcard sampai Sarawak suruh respond kes,” katanya.
NG MERS 999 dibangunkan sebagai platform bersepadu bagi menggantikan sistem MERS 999 sebelum ini.
Memetik kenyataan Kementerian Komunikasi, sistem tersebut merupakan penambahbaikan kepada aplikasi mudah alih SaveME 999, yang kini membolehkan rakyat Malaysia termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) menghubungi talian kecemasan melalui video, teks dan amaran berasaskan multimedia.
Sistem yang diperkenalkan pada 16 November lalu itu dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan penugasan sumber serta mempercepatkan masa tindak balas di lebih 800 lokasi seluruh negara.








