'Pemergianmu sangat menyayat hati sayang' - Isteri luah kata terakhir selepas suami ditemui lemas | The Reporter

‘Pemergianmu sangat menyayat hati sayang’ – Isteri luah kata terakhir selepas suami ditemui lemas

Luahan isteri arwah mengenai pemergian suaminya yang ditemui lemas di Jambatan Pulau Pinang.
“Pemergianmu sangat menyayat hati sayang” luahan isteri arwah yang menyentuh hati ramai.

Ungkapan, “Pemergianmu sangat menyayat hati sayang” yang ditulis oleh isteri mangsa menjadi detik paling memilukan selepas mayat seorang lelaki berusia 25 tahun ditemui terapung berhampiran Pangkalan Weld, dua hari selepas dilaporkan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang.

Luahan itu dimuat naik di TikTok berserta gambar arwah, menggambarkan kehilangan besar yang ditanggung keluarga muda ini.

Isterinya, Nurul Natasha Amyra, 19, dimaklumkan tentang penemuan itu sekitar jam 9.50 pagi sebelum mayat dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

Baca juga:

Mangsa, Elmi Nur Zamani Aizat Abdul Azim, ditemui kira-kira lapan kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh pada Ahad. Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang memaklumkan operasi SAR digerakkan sejak menerima panggilan kecemasan jam 6.56 petang, dengan bantuan Polis Marin, Maritim Malaysia, APM serta pasukan PPDA.

Pencarian diteruskan sehingga pagi berikutnya sebelum Polis Marin melaporkan penemuan mayat pada jam 9.35 pagi, menamatkan operasi pada 11.45 pagi.

Keluarga mohon hentikan spekulasi
Gambar mangsa bersama keluarga

Abang iparnya, Fitri, memaklumkan banyak maklumat tidak tepat tular di media sosial sejak kejadian itu. Katanya, keluarga tidak mampu menyekat semua spekulasi tetapi merayu ia dihentikan kerana mengganggu emosi balu yang sedang sarat mengandung lima bulan dan kini terpaksa meneruskan hidup bersama dua anak kecil.

Motosikal mangsa yang ditemui di tepi jalan

Bungkusan pakaian dan motosikal mangsa turut ditemui di tepi jambatan pada hari kejadian, namun punca sebenar kejadian masih belum dijelaskan pihak berkuasa.

Menurut keluarga, jenazah Elmi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Lahar Tabut, Penaga pada petang ini.

Sumber: Buletin TV3, Sinar Harian

Related Posts