Dakwaan seorang pengguna media sosial mengenai peniaga yang didakwa memasukkan tisu ke dalam kuah laksa bagi menjadikannya kelihatan lebih pekat mencetuskan rasa loya dan kemarahan netizen sejak beberapa hari lalu.
Perkongsian itu menyebut kuah laksa tersebut kelihatan “pekat likat dan sedap”, namun rupa-rupanya tekstur itu hadir daripada tisu gulung putih yang dimasukkan ke dalam periuk sehingga kelihatan seperti isi ikan hancur.
Cerita itu mengundang pelbagai reaksi lanjut, termasuk beberapa individu yang mengaitkan pengalaman sendiri ketika menjamah laksa yang kuahnya terlalu pekat namun tidak mempunyai rasa ikan.
Baca juga:
- Dituduh ‘cekik darah’ caj RM30 baiki kalkulator, lelaki tampil beri penjelasan
- Dua pelajar Korea Selatan curi tumpuan, raih keputusan cemerlang SPM
- Tiga lelaki ditahan dalam kes rusuhan bersenjata
Seorang pengguna mendakwa pernah menemui cebisan tisu berwarna merah jambu melekat pada lidahnya ketika makan laksa, manakala yang lain menyifatkan perbuatan itu “tidak amanah dan tidak berkat” jika benar berlaku. Sebahagian pula meluahkan rasa muak dan hilang selera hanya membaca dakwaan peniaga sanggup menggunakan bahan asing demi melariskan jualan.

Namun ada juga suara mengajak orang ramai bertenang dan tidak menuduh semua peniaga berdasarkan tindakan segelintir pihak. Menurut mereka, penyebaran dakwaan tanpa bukti jelas boleh menjejaskan reputasi peniaga lain yang menjalankan perniagaan secara jujur.
Fenomena ini sekali lagi menimbulkan perbincangan mengenai kebersihan dan etika dalam perniagaan makanan, selain mengingatkan pengguna supaya lebih berhati-hati ketika membuat dakwaan di platform awam.
Walaupun belum ada pengesahan rasmi mengenai kes tersebut, perbincangan hangat netizen menunjukkan betapa mudahnya kepercayaan pelanggan terhakis apabila muncul dakwaan yang menjijikkan seperti ini.
Sumber: Reduan Fauzi








