Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Susulan gencatan senjata terbaru, situasi kemanusiaan di Gaza masih berada pada tahap kritikal dengan sistem kesihatan hampir lumpuh, hospital kekurangan sumber, dan komuniti amat memerlukan rawatan perubatan segera.
Dalam keadaan mencabar itu, MERCY Malaysia meneruskan komitmennya membantu rakyat Palestin melalui pasukan khas Specialised Care Team (SCT 6) yang kini beroperasi di barisan hadapan bagi menyalurkan bantuan perubatan dan kemanusiaan penting kepada mereka yang terjejas.
Menurut kenyataan MERCY Malaysia, pasukan tersebut dihantar ke Gaza di bawah penyelaras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kini memberikan rawatan di Hospital Al-Shifa serta kemudahan berkaitan.
Baca juga:
- MERCY Malaysia tiba di Gaza, bantu pemulihan sistem kesihatan
- Bekas pemain bola disyaki tembak lelaki yang pernah menyerangnya
- Utusan ambil tindakan undang-undang individu guna nama Utusan sebar fitnah
Pasukan berkenaan menumpukan kepada pembedahan dan rundingan ortopedik, rawatan dialisis serta penjagaan ibu mengandung, selain membantu menyediakan rawatan segera kepada mangsa yang cedera akibat konflik.
“Sukarelawan perubatan kami, yang beroperasi sebagai unit pembedahan khas, kekal komited menyelamatkan nyawa dengan memberikan rawatan segera kepada yang cedera serta rawatan kritikal kepada mereka yang memerlukan perhatian perubatan khusus,” menurut kenyataan itu.

MERCY Malaysia turut menegaskan komitmennya untuk menyokong pemulihan sistem kesihatan, memperkukuh daya tahan masyarakat dan memulihkan harapan penduduk Gaza.
“Kami akan terus memastikan akses kepada perkhidmatan menyelamatkan nyawa serta mempertahankan hak terhadap kesihatan untuk semua,” jelas kenyataan tersebut.









