Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, menyifatkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam mengenai penganjuran majlis melibatkan alkohol di kawasan sekolah sebagai tindakan “menjolok sarang tebuan”.
Beliau berkata, kenyataan itu menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat Cina kerana dianggap mencampuri adat dan amalan lama komuniti tersebut.
“Pandangan berkenaan seperti pencerobohan yang tidak perlu terhadap adat resam komuniti Cina yang telah diamalkan selama beberapa dekad,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Lim, dewan komuniti Cina di sekolah vernakular sudah lama digunakan untuk menganjurkan majlis perkahwinan, makan malam dan acara sosial dengan alkohol dihidangkan, namun ia sentiasa diadakan di luar waktu sekolah tanpa melibatkan pelajar.
“Masyarakat Cina berasa kecewa kerana Anwar membiarkan dirinya dipengaruhi golongan pelampau dengan mengganggu amalan yang tidak pernah menimbulkan masalah kepada sesiapa,” tambahnya.
Baca juga:
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
Kebimbangan larangan diperluas
Lim turut menyatakan kebimbangan jika larangan terhadap alkohol itu akan diperluas kepada makanan tradisi masyarakat Cina seperti daging babi dalam majlis komuniti.
“Memandangkan daging babi diharamkan di institusi kerajaan, adakah selepas ini sekolah rendah Cina akan dilarang menghidangkannya pada majlis perkahwinan atau makan malam adat?” soalnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa ketika PAS berada dalam kerajaan sebelum ini, tiada campur tangan terhadap aktiviti seumpama itu di sekolah vernakular.
Loke bincang terus dengan Anwar
Lim turut memaklumkan bahawa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, telah berhubung secara langsung dengan perdana menteri untuk mencari penyelesaian yang seimbang.
“Kami berharap isu ini dapat diselesaikan dengan semangat persefahaman dan keadilan, sebagaimana Loke berjaya memastikan pelajar cemerlang mendapat peluang di matrikulasi dan universiti,” katanya.
Sumber: MalaysiaKini








