Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Status perkahwinan pempengaruh Siti Jamumall akhirnya terjawab selepas Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengesahkan perceraian talak tiga dengan suaminya, Khairul Aiman Abdul Kudus atau lebih dikenali sebagai Aiman Tak Kesah.
Hakim Syarie, Fairus Jaafar menjelaskan dua lafaz awal yang dibuat Aiman pada 15 Mei lalu hanya dikira sebagai satu talak rajie. Namun, lafaz ketiga yang diucapkan kira-kira 15 hingga 18 minit kemudian ditafsirkan sebagai talak bain kubra.
Sehubungan itu, mahkamah meluluskan tuntutan pengesahan cerai plaintif mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003. Siti turut diarahkan menjalani tempoh edah sehingga bersalin, manakala surat nikah pasangan yang didaftarkan di Perlis dibatalkan, lapor Sinar Harian.
Baca juga:
- Bukan buli, polis dan IKBN Miri sahkan hanya gurauan hari lahir
- Kerajaan nafi hadkan pembelian RON95 sehari sekali
- UUM kongsi kisah pelajar yatim piatu daftar sendirian ke Kampus
Aiman akur dengan keputusan
Menurut peguam syarie, Mohd Nooraizan Md Idros yang mewakili plaintif, Aiman menerima keputusan tersebut namun masih memikirkan masa depan anak sulung mereka yang baru dilahirkan.
“Buat masa ini, pasangan ini memang tidak boleh rujuk semula. Tetapi Aiman tetap berharap dapat berbaik dengan bekas isterinya. Kami juga sedang menimbang kemungkinan memfailkan rayuan dalam masa 14 hari,” katanya.
Perjalanan rumah tangga singkat
Pasangan ini pernah melalui episod perpisahan sebelum ini. Pada 17 Mac lalu, mereka bercerai di luar mahkamah tetapi kembali rujuk dalam tempoh singkat. Pada 15 Mei, talak sekali lagi dilafazkan secara langsung di TikTok, sehingga mencetuskan perhatian ramai apabila Aiman mengulang lafaz lebih daripada sekali sebelum siaran ditamatkan.
Siti dan Aiman mendirikan rumah tangga pada 1 Jun tahun lalu di Satun, Thailand. Ia merupakan perkahwinan kedua buat Siti yang sebelum ini berkahwin selama empat tahun dan dikurniakan dua anak lelaki, Putra Adam Rizki, 5, dan Putra Aiman Zafran, 3. Beliau juga baru melahirkan anak ketiga pada 12 September lalu.