Pemuda DAP tak setuju klinik kibar bendera terbalik diarah tutup 30 hari | The Reporter

Pemuda DAP tak setuju klinik kibar bendera terbalik diarah tutup 30 hari

Seorang wanita menurunkan Jalur Gemilang di tingkap sambil diperhatikan pegawai penguat kuasa.
Pemuda DAP persoal arahan tutup 30 hari | Kredit gambar: Media sosial

Pemuda DAP tampil mempertikai arahan penutupan 30 hari oleh Majlis Perbandaran Pontian (MPPN) terhadap sebuah klinik yang tersilap memasang Jalur Gemilang terbalik, dengan menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan.

Menurut mereka, kesilapan mengibarkan bendera sememangnya tidak boleh dipandang ringan, namun keputusan drastik menutup klinik telah memberi kesan langsung kepada pesakit.

“Sepanjang tempoh tersebut, pesakit yang telah membuat janji temu, termasuk kes pembedahan, terpaksa ditangguhkan tarikhnya atau mencari doktor lain,” kata kenyataan itu.

Baca juga:

Isu penguatkuasaan perlu adil dan konsisten

Pemuda DAP menegaskan penguatkuasaan tidak boleh dilaksanakan secara “satu penyelesaian untuk semua” kerana membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa. Mereka menyifatkan langkah itu sebagai bertindak seperti ‘polis moral’ yang hanya menghukum tanpa mengambil kira kesan lebih luas kepada masyarakat.

Lebih membimbangkan, kata mereka, wujud double standard apabila kesilapan bendera membabitkan Kementerian Pendidikan, PAS Terengganu dan Pemuda Umno Terengganu tidak dikenakan tindakan berat.

“Peniaga kecil pula dihukum sehingga diaibkan oleh golongan ekstremis,” tambah kenyataan itu.

Sebelum ini, Yang Dipertua MPPN, Abdul Azim Shamsuddin menjelaskan notis penutupan dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan Perniagaan dan Perdagangan 2019 yang menetapkan keperluan memasang bendera negara dan negeri dengan betul. Tindakan itu turut dikritik oleh pengasas bersama Lawyers for Liberty, Latheefa Koya, yang menyifatkan ia sebagai “keterlaluan”.

Sumber: MalaysiaKini, Sinar Harian

Related Posts