Akmal tak gentar gesaan pemuda DAP Pulau Pinang untuk putuskan hubungan politik | The Reporter

Akmal tak gentar gesaan pemuda DAP Pulau Pinang untuk putuskan hubungan politik

Akmal Saleh tidak gentar dengan gesaan pemuda DAP Pulau Pinang.
Gambar: Facebook Akmal Saleh.

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, menegaskan beliau tidak gentar dengan gesaan Pemuda DAP Pulau Pinang agar parti itu memutuskan hubungan politik dengannya susulan insiden protes di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Adun Merlimau itu berkata, langkah berkenaan seolah-olah memutuskan hubungan dengan seluruh sayap Pemuda Umno dan secara tidak langsung parti utama Barisan Nasional (BN) itu sendiri.

“Putus hubungan dengan saya, putus hubungan dengan pemuda UMNO = putus hubungan dengan UMNO.

“Silakan,” katanya ringkas dalam hantaran di Facebook, memaparkan tangkap layar laporan media mengenai gesaan tersebut.

Baca juga:

Gesaan itu dibuat sehari selepas Akmal mengetuai protes di hadapan sebuah kedai perkakasan milik Pang Chin Tian yang didakwa menggantung Jalur Gemilang secara terbalik. Pang bagaimanapun mendakwa ia berlaku secara tidak sengaja ketika mengukur panjang tiang besi.

Akmal mengetuai perhimpunan yang dihadiri kira-kira 300 orang, termasuk anggota Pemuda Bersatu, selepas memberi amaran akan “mengajar” pemilik kedai sekiranya tiada tindakan undang-undang diambil dalam tempoh dua hari.

Dalam kenyataan berasingan, Akmal mempertahankan perhimpunan itu sebagai aman dan menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung laporan polis yang bakal dibuat oleh Pemuda DAP di seluruh negara, seperti diarahkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

“Mahu buat laporan polis? Silakan. Saya sedia bekerjasama. (Saya) takut pada kamu? Langsung tidak!”katanya.

Menerusi hantaran terbaharu, Akmal memaklumkan beliau telah dihubungi oleh pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memberikan keterangan pada malam ini.

“Saya telah dihubungi oleh pegawai penyiasat dari ibu pejabat polis bukit aman untuk hadir memberikan keterangan pada malam ini (15/08/2025) jam 11 malam di IPD Dang wangi Kuala lumpur. Jika ini harga yang perlu saya bayar untuk pertahankan maruah negara ini,saya rela dan akan lawan habis-habisan,” ujarnya.

Related Posts