Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan Negeri Terengganu kini tampil dengan satu inisiatif baharu yang diyakini dapat membantu rakyat negeri itu mencari pasangan hidup secara lebih selamat, tertib dan berpandukan syariah, menerusi pelancaran Portal Jodoh Darul Iman.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada pendekatan kerajaan negeri dalam membantu anak-anak muda mendirikan rumah tangga secara tertib dan terhormat.
“Memiliki pasangan hidup adalah fitrah, justeru mencari jodoh adalah naluri setiap insan. Maka menyediakan jalan yang selamat, tertib dan berpandukan syariah ke arah tersebut adalah tanggungjawab bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca juga:
- MKM nafi kenyataan tular dakwa hilang kepercayaan terhadap Anwar Ibrahim
- Bayi maut dalam nahas di Baling, pemandu lori disyaki positif dadah
- Annuar Musa akui penyatuan Melayu masih berdepan cabaran
Beliau berkata, pelancaran portal berkenaan yang dikendalikan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) merupakan satu bentuk inisiatif sosial yang menyasarkan generasi muda negeri itu yang mahu mencari pasangan hidup secara sah dan terhormat.
“Portal ini bukan sahaja menyediakan platform digital pencarian jodoh secara patuh syariah, malah turut disertai bimbingan, panduan dan pemantauan yang sistematik,” katanya lagi.
Tambah beliau, kerajaan negeri yakin usaha ini mampu memberi sumbangan besar kepada pembinaan masyarakat yang lebih bertamadun dan harmoni, selain mengukuhkan institusi kekeluargaan Muslim di negeri itu.
“Insya-Allah, usaha kecil ini mampu menyumbang ke arah masyarakat yang lebih bertamadun, mendepani cabaran demografi dan membina keluarga Muslim yang kukuh sebagaimana cita-cita kita bersama, Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,” ujarnya.








