Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Usahawan dan pempengaruh, Asyraf Khalid, bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap penyanyi dan aktivis Caprice susulan beberapa hantaran media sosial yang didakwa menyerangnya secara terbuka.
Menurut Asyraf, 33, tuduhan yang dikaitkan dengannya berhubung sebuah temu bual dalam program podcast miliknya memberi kesan besar terhadap kesihatan mental, emosi dan reputasi sebagai ahli perniagaan.
“Seorang pempengaruh dikenali sebagai Caprice telah menerbitkan beberapa hantaran menyerang saya secara terbuka kerana menjemput tetamu berkenaan yang menurutnya terlibat dengan pelbagai tuduhan kekerasan.
“Hantaran-hantaran tersebut telah mencetuskan gelombang serangan berbentuk fitnah, penghinaan keterlaluan dan tohmahan yang menggugat maruah saya,” katanya.
Jelasnya lagi, dia telah cuba berhubung secara peribadi dengan Caprice menerusi mesej Instagram untuk menjelaskan situasi sebenar dan membuat keputusan untuk tidak menyiarkan episod podcast terbabit demi menjaga sensitiviti.
“Namun begitu, Caprice tetap meneruskan siri hantaran yang berniat menyerang dan menjatuhkan saya,” katanya.
Lebih mengecewakan, kata Asyraf, kecaman yang diterimanya terlalu melampau termasuk dituduh sebagai perogol, pedofilia serta menerima serangan terhadap keluarganya.
“Kami berkawan sejak saya umur 18 tahun, jadi saya sangat terkejut bila ini terjadi. Tak mungkin seorang sahabat akan bertindak begitu.
“Saya akui ada kekhilafan sendiri, tapi apa yang dia buat keterlaluan. Bila saya umum tak akan siarkan video itu, kenapa masih diserang sehingga netizen menuduh saya macam-macam termasuk ‘body shaming’ dan persoalkan status saya sebagai anak Datuk K,” luahnya.
Baca juga:
- ‘Kepada Khairul Aming, saya buat…’ – 30 hari 30 resepi KA
- ‘Saya letih dengan dunia penuh fitnah’ – Prince Syed dedah akaun digodam
- Pempengaruh media sosial didakwa rogol, amang seksual terhadap dua remaja
Saman malu dan fitnah
Sementara itu, peguamnya, Abdul Hakiem Aiman mengesahkan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pudu semalam, dan saman malu serta saman fitnah akan difailkan dalam masa terdekat.
“Selepas meneliti semua fakta bersifat fitnah terhadap Asyraf, kami rasa perkara ini perlu diadili di mahkamah, bukan media sosial.
“Caprice juga tidak mendapatkan sebarang penjelasan daripada pihak Asyraf sebelum memuat naik hantaran-hantaran terbabit,” jelasnya.
Menurut peguam itu lagi, kandungan video yang tular hanyalah sedutan ‘teaser’ dan tidak menyentuh isu-isu sensitif seperti didakwa.
Terdahulu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 37, mengecam tindakan Asyraf menjemput seorang individu yang didakwa pernah mencederakan beberapa pihak dan pernah mengugut dirinya ke program Apa Cerita? Podcast.
Susulan itu, menerusi satu hantaran di Instagram, pihak audio siar berkenaan memaklumkan bahawa episod minggu tersebut tidak akan disiarkan, selain menegaskan bahawa ia tidak ditaja oleh mana-mana pihak seperti yang didakwa.








