Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum (PRU) bagi membuktikan sama ada rakyat benar-benar menyokong kepimpinannya atau tidak.
Dalam satu kenyataan bertajuk “Cabar“, Tun Dr Mahathir membidas tindakan Anwar yang mencabar pihak lawan supaya mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat. Menurutnya, usul sebegitu sukar diteruskan kerana wakil rakyat yang menyokong Anwar dikatakan “takut akan tindakan” sekiranya mereka tidak lagi menyokong Perdana Menteri.
“Ada antara penyokong Anwar yang akan kena penjara jika tidak diselamat oleh Anwar. Ada juga yang akan hilang peruntukan,” dakwanya.
Beliau turut menegaskan wakil rakyat tersebut tidak bebas menyatakan pendirian dan hanya menyokong Anwar kerana tekanan tertentu.
Baca juga:
- BERSATU pandang serius kenyataan Presiden PAS
- ‘PAS akan menilai semula kerjasama dengan BERSATU’ – Hadi Awang
- ‘Rafizi, Nik Nazmi tergugur keahlian PKR’ – Fuziah Salleh
Desak PRU sebagai jalan keluar
Tun Dr Mahathir mendakwa sokongan kepada kerajaan Anwar tidak mencerminkan kehendak rakyat sebenar, sebaliknya datang daripada perbincangan dan rundingan politik tertutup.
“Anwar bukan pilihan rakyat untuk jadi Perdana Menteri. Dia jadi PM kerana menghentikan perbicaraan seorang pemimpin supaya ia boleh bawa partinya sokong Anwar,” katanya tanpa menamakan individu terbabit.
Beliau juga menyentuh tentang penyertaan ahli UMNO dalam himpunan besar yang lalu, yang menurutnya telah diugut dan diberi amaran. Justeru itu, beliau menggesa agar Parlimen dibubarkan segera dan mandat dikembalikan kepada rakyat melalui pilihan raya.
“Kalau Anwar betul-betul berani, bubar sahaja parlimen dan adakan PRU sekarang. PRU boleh tentukan sokongan oleh rakyat benar dan demokratik,” katanya.
Wajarkah bubar Parlimen semata-mata atas cabaran politik?
Secara asasnya, desakan mengadakan PRU hanya untuk “menguji sokongan rakyat” tanpa bukti kerajaan hilang majoriti adalah tidak wajar dan boleh dianggap tidak bertanggungjawab. Pilihan raya umum bukanlah permainan politik, tetapi satu proses demokrasi yang menelan kos besar, lebih RM1 bilion semasa PRU15 yang datang daripada wang rakyat.
Selain membazir, langkah itu juga boleh mengganggu kestabilan negara dan menjejaskan keyakinan pelabur. Jika benar kerajaan hilang keabsahan, jalan terbaik ialah mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen, bukan menekan Perdana Menteri untuk membubar Dewan sesuka hati.
Dalam sebuah demokrasi yang matang, rakyat wajar menilai kenyataan politik seperti ini dengan rasional, bukan emosi. PRU bukan alat cabaran peribadi, sebaliknya harus diadakan hanya apabila perlu demi kepentingan negara, bukan agenda politik mana-mana individu.
Sumber: FB Tun Dr Mahathir Mohamad








