'PAS tak lapar jawatan, tak perlu pelampung bernama TPM' - Idris Ahmad sindir Maszlee | The Reporter

‘PAS tak lapar jawatan, tak perlu pelampung bernama TPM’ – Idris Ahmad sindir Maszlee

Idris Ahmad berucap sambil menuding jari, dengan gambar Maszlee Malik dimasukkan dalam bulatan di latar.
Idris Ahmad menegaskan PAS tidak tergoda dengan tawaran jawatan TPM seperti disuarakan oleh Maszlee Malik.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad membidas kenyataan Dr Maszlee Malik yang mencadangkan PAS akan mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) jika menyertai Kerajaan Perpaduan.

Idris menyifatkan kenyataan Maszlee sebagai cubaan mengalih perhatian daripada kelemahan kerajaan sedia ada.

“Entah mimpi waktu tidur ke atau memang tugas khas nak alih perhatian dari kapal yang sedang karam?” soal Idris dalam satu hantaran Facebook bertarikh 29 Julai.

Gambar dari FB Idris Ahmad

Menurut beliau, mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada 25 Julai lalu sudah pun memutuskan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan pihak yang kini berdepan krisis kepercayaan rakyat.

“PAS tak lapar jawatan, lebih-lebih lagi bila jawatan itu datang dari dapur yang sedang berasap dan dapur sendiri pun tak terurus. Nak ajak PAS masuk kapal bocor, lepas tu hulur pelampung bernama TPM? Maaf, PAS tidak jual maruah demi jawatan.”

Baca juga:

Bidasan selepas cadangan Maszlee

Maszlee yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, dilaporkan Malaysiakini berkata PAS seharusnya menyertai kerajaan demi manfaat lebih besar berbanding kekal dalam PN yang kini dikatakan tidak lagi diyakini. Namun, bagi Idris, kenyataan itu langsung tidak memberi kesan terhadap pendirian PAS.

“Jangan risau, kita terus mara. Tak perlu umpan jawatan, apatah lagi umpan dari kapal yang senget,” katanya, sambil menyentuh perhimpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai lalu sebagai isyarat jelas sokongan rakyat kepada PN.

Dalam nada sinis, beliau turut menyindir kehadiran 15,000 peserta demo itu dan menyatakan “cukup buat geng perpaduan berpeluh dalam bilik mesyuarat.”

Sumber: Facebook Idris Ahmad

Related Posts