Bermula tahun ini, semua ibu bapa diwajibkan menghantar anak mereka ke sekolah menengah selepas tamat sekolah rendah, selaras dengan pindaan Akta Pendidikan 1996 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat, Rabu lalu.
Melalui Rang Undang-undang (Pindaan) Pendidikan 2025, pendidikan menengah kini dimasukkan secara rasmi dalam takrifan “pendidikan wajib”, sekali gus memperkenalkan Seksyen 32A yang memberi kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk mewajibkan kanak-kanak warganegara Malaysia yang tinggal di dalam negara untuk bersekolah sehingga peringkat menengah.
Kegagalan ibu bapa mendaftar anak ke sekolah tanpa pengecualian yang sah boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5,000, penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Baca juga:
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
“Bukan untuk menghukum, tapi untuk pastikan anak tak tercicir” – Fadhlina
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan pindaan ini bukan bertujuan menghukum ibu bapa, sebaliknya untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat hak pendidikan yang sepatutnya.
“Semangat pindaan ini bukan tentang hukuman, tetapi tentang pendidikan, memastikan tiada anak tercicir,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang tersebut di Parlimen.
Beliau turut menjelaskan Kementerian Pendidikan sedang memperkukuh kesedaran di peringkat komuniti serta menyediakan pelbagai bentuk bantuan agar anak-anak daripada keluarga miskin tidak tercicir daripada pendidikan.
“Fokus kami adalah kepada bantuan, bukan hukuman. Sebanyak 18 bentuk bantuan seperti biasiswa, pakaian sekolah dan sokongan lain disediakan untuk bantu ibu bapa.”
Soalan tentang pelajar homeschool, swasta, pondok turut dibangkitkan
Ketika sesi perbahasan, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin menyambut baik pindaan itu dan menyifatkannya sebagai “berani, progresif dan sudah lama ditunggu.”
Namun, beliau memohon penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan undang-undang ini terhadap:
- Kanak-kanak yang mempunyai ibu atau bapa bukan warganegara,
- Pelajar sekolah swasta dan sekolah Cina persendirian,
- Pelajar homeschool.
Baca juga:
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
- Netanyahu kritik tindakan Ben-Gvir terhadap aktiviS GSF
- Rakaman dron Haroqs jadi bukti dunia, dedah detik cemas sebelum diserbu tentera Israel
Menjawab soalan itu, Fadhlina berkata, “Homeschool akan dinilai berdasarkan keperluan setiap anak secara kes demi kes. Saya terbuka untuk memastikan ada justifikasi, ruang dan peluang untuk anak-anak ini tanpa diskriminasi.”
Cha turut menyarankan agar pelaksanaan lebih ditumpukan kepada pendidikan dan advokasi daripada menghukum ibu bapa.
“Jika dilaksanakan dengan baik, ia boleh tingkatkan penyertaan SPM dan kurangkan jurang keciciran di peringkat menengah,” katanya.
“Ramai pelajar berhenti sekolah sebab miskin” – Teresa Kok
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula mengingatkan kerajaan agar meneliti punca utama pelajar berhenti sekolah, seperti kemiskinan, masalah keluarga dan tiada minat terhadap akademik.
“Ramai pelajar berhenti sekolah kerana kemiskinan, masalah keluarga atau tiada minat. Isunya bukan sekadar undang-undang.”
Beliau turut menyatakan kebimbangan jika ibu bapa berpendapatan rendah dihukum sedangkan mereka berdepan pelbagai kekangan.
“Reformasi perlu tertumpu kepada kurikulum dan penambahbaikan sekolah, bukan hukuman. Pelajar lemah juga patut diberi peluang untuk ulang tahun.”
Sekolah tahfiz dan pondok perlu daftar atau ibu bapa akan dipertanggungjawabkan
Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) pula mempersoalkan sama ada pelajar sekolah pondok dan tahfiz yang tidak berdaftar akan dikecualikan secara automatik atau perlu memohon secara rasmi.
Merujuk Seksyen 32A(3), Fadhlina menjelaskan bahawa, “Semua institusi swasta berdaftar, termasuk sekolah agama, tertakluk di bawah pindaan ini. Bagi yang tidak berdaftar, ibu bapa akan dipertanggungjawabkan secara sah – ini yang sedang kami usahakan agar mereka daftar dan ikut kurikulum piawai, termasuk bagi tangani isu buli.”
Sumber: The Star










