Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Di sebalik kekurangan dan ujian hidup, kasih sayang dan ketabahan seorang suami terhadap isterinya yang uzur menyentuh hati ramai. Kisah menyayat hati ini dikongsikan oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Ustad Jungler, menyaksikan sendiri pengorbanan luar biasa lelaki tersebut.
Walaupun isterinya kini tidak lagi mampu bergerak, bercakap mahupun menguruskan diri sendiri akibat komplikasi penyakit, si suami tetap setia berada di sisi, menerima ujian itu dengan penuh reda.
“Dia ada kencing manis, strok dan kaki dia dah kena potong. Dia pun dah tak boleh bercakap sekarang. Nak makan pun tak boleh, dia kena pakai tiub. Dia sakit semenjak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lagi,” jelasnya.
Lebih mengagumkan, lelaki itu sanggup mendukung isterinya menaiki tangga setiap hari untuk sampai ke rumah mereka yang terletak di tingkat empat di sebuah flat kos rendah di Meru, Selangor tanpa kemudahan lif.
“Saya tinggal di Meru, rumah flat, tingkat empat dan tak ada lif. Saya dukung dia naik ke tingkat empat,” katanya.
Baca juga:
- ‘Dia hilang mak di usia 5 tahun, kini anak di usia 22’
- ‘Saya hampir bertakbir’ – Fadhli Shaari tarik balik pujian terhadap PM
- Caprice maklumkan isteri Pak Cik Ah Yauddin meninggal dunia
Apa yang lebih memilukan, dalam keadaan dirinya sendiri yang tidak sihat, lelaki itu tetap cekal menjaga isterinya. Dia turut menghidap pelbagai penyakit kronik.
“Saya pun sakit, ada kencing manis, darah tinggi dan sakit buah pinggang tahap lima,” ujarnya.
Demi kelangsungan hidup, lelaki tersebut menjual air untuk menampung perbelanjaan harian. Namun, pendapatan yang diperoleh tidak menentu.
“Jualan tak tentu… Sekarang jual air, kadang-kadang habis,kadang-kadang tak,” luahnya.
Kisah ini mengundang sebak dalam kalangan netizen yang bersimpati dengan keadaan pasangan suami isteri tersebut.








