Seorang wanita warga emas berusia 66 tahun dari Shanghai menjadi perhatian ramai selepas didapati membelanjakan lebih RM1.3 juta (2 juta yuan) untuk membeli-belah secara online, hingga terpaksa menyewa sebuah rumah tambahan hanya untuk menyimpan bungkusan-bungkusan yang belum pernah dibuka.
Wanita yang dikenali sebagai Wang itu tinggal sendirian di daerah Jiading. Dalam tempoh beberapa tahun, dia membeli pelbagai barangan seperti kosmetik, suplemen kesihatan dan barang kemas emas, semuanya secara online terutamanya melalui sesi siaran langsung jualan.
Barang-barang itu kini memenuhi setiap ruang di rumahnya sehingga dia sendiri mengakui tidak mempunyai tempat untuk tidur. Malah, garaj bawah tanah miliknya juga sudah padat dengan barang. Akhirnya, Wang mengambil keputusan menyewa sebuah flat hanya untuk menyimpan barangan tersebut.
Baca juga:
- Netanyahu kritik tindakan Ben-Gvir terhadap aktiviS GSF
- Kekeliruan nama sama di PIK, Pagi Sore Kemang Hijau perjelas situasi
- Disangka cucu, nenek tampar lelaki di kafe siber sebelum sedar tersilap orang

“Saya sengaja habiskan duit supaya orang tak datang pinjam”
Wang mengaku dia ketagih membeli-belah dan merasa seronok apabila dapat membelanjakan wang. Namun ada sebab lain yang lebih mengejutkan di sebalik tabiatnya itu.
“Dulu saya jual rumah di pusat bandar dan beli rumah ini di kawasan pinggir bandar. Jadi bila orang nampak saya tinggal selesa, mereka fikir saya ada banyak duit,” katanya.
“Untuk elakkan orang datang pinjam duit, saya pilih untuk habiskan semuanya beli barang. Bila mereka nampak rumah saya penuh dengan bungkusan, mereka akan fikir tak sesuai nak minta tolong.”

Jiran terkesan dengan bau busuk dan serangga
Tabiat luar biasa Wang bukan saja menimbulkan kebimbangan dalam kalangan netizen, malah turut mengganggu kehidupan jiran-jirannya. Mereka mengadu tentang bau busuk yang datang dari rumah Wang dan kehadiran lalat serta lipas yang kerap muncul di kawasan sekitar.
Menurut pegawai jawatankuasa penduduk tempatan, anak perempuan Wang tinggal di luar negara dan jarang pulang ke tanah air. Saudara-maranya pula jarang berhubung. Walaupun pihak jawatankuasa sudah beberapa kali cuba mendapatkan bantuan ahli keluarga Wang, semua usaha itu tidak berjaya.
Pada Mei tahun lalu, satu operasi pembersihan dijalankan dengan izin Wang. Namun, tidak lama selepas itu, rumahnya kembali dipenuhi dengan barangan baharu.

Pakar sahkan kemungkinan masalah kesihatan mental
Pakar psikiatri dari Shanghai, Dr. Shi Yanfeng, menjelaskan gangguan menimbun atau hoarding disorder selalunya berkait rapat dengan masalah kemurungan dan kebimbangan sosial. Menurutnya, proses rawatan bagi gangguan ini mengambil masa yang panjang dan memerlukan sokongan berterusan.
Dalam reaksi di media sosial, ramai menyifatkan punca sebenar kepada isu ini ialah kesunyian.
“Punca utama dia jadi macam ni ialah sebab dia kesunyian. Anak-anak muda patut lebih ambil berat tentang warga emas dalam keluarga. Jangan biarkan mereka bersendirian begini,” kata seorang pengguna. – Agensi











