'Saya benar-benar kesal' - Penunggang basikal akhirnya buka mulut & mohon maaf | The Reporter

‘Saya benar-benar kesal’ – Penunggang basikal akhirnya buka mulut & mohon maaf

Penunggang basikal berdepan pemandu bas, simbolik permohonan maaf
Insiden antara penunggang basikal dan pemandu bas tular, kini disusuli permohonan maaf terbuka

Penunggang basikal, Salman Farish, tampil membuat permohonan maaf terbuka selepas insiden yang melibatkan sekumpulan lebih 30 penunggang basikal dan sebuah bas RapidKL mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.

Menurut Salman, dia mengakui tindakan mereka ketika itu, termasuk berkayuh secara berpasangan, mungkin mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain dan menimbulkan ketidakselesaan awam. Malah, dia mengakui bahawa videonya sendiri mungkin telah memburukkan lagi persepsi terhadap komuniti berbasikal.

Dakwa nyaris dirempuh bas, tetapi…

Insiden itu berlaku di Bestari Jaya sekitar jam 9.35 pagi Ahad lalu, apabila kumpulan penunggang basikal mendakwa hampir dirempuh sebuah bas RapidKL walaupun mereka menggunakan lorong kiri. Dalam video yang tular, situasi dilaporkan menjadi tegang selepas pemandu bas dikatakan keluar dari kenderaan dan cuba menendang salah seorang penunggang.

Namun reaksi netizen di media sosial lebih memihak kepada pemandu bas, dengan ramai mempersoalkan sikap penunggang basikal yang sering berkayuh dalam kumpulan besar hingga mengganggu laluan kenderaan lain.

Akui kesilapan dan mohon maaf

“Saya ingin memohon maaf kepada semua pengguna jalan raya yang terkesan dengan situasi ini atau video yang saya kongsikan. Saya sedar tindakan saya mungkin menimbulkan ketidakselesaan dan ketegangan dalam kalangan orang ramai.”

Beliau turut mengakui telah disiasat bersama penunggang lain dan menerima teguran pihak berkuasa. Tambahnya, mereka telah mengakui kesilapan dan akan mengambil pengajaran daripada insiden ini.

“Saya benar-benar kesal tidak menunjukkan lebih banyak toleransi dan kepekaan semasa kejadian. Rasa tidak puas hati yang dinyatakan oleh ramai pihak adalah sah dan saya mendengarnya.”

Salman turut menjelaskan bahawa niat asalnya berkongsi video tersebut adalah untuk mengetengahkan cabaran keselamatan penunggang basikal, namun mengakui kaedah yang dipilih tidak membina dan telah memecahbelahkan pandangan awam.

“Saya harap ini boleh jadi titik perubahan untuk kita semua lebih peka dan bertanggungjawab, sama ada di atas basikal, memandu, atau berkongsi jalan raya. Biar kita belajar daripada insiden ini, bukan terus memanjangkan konflik.”

Sumber: Instagram Salman Farish

Related Posts