Polis siasat insiden sekumpulan pengayuh basikal halang laluan bas awam | The Reporter

Polis siasat insiden sekumpulan pengayuh basikal halang laluan bas awam

Pengayuh basikal berdepan bas awam di jalan utama, dirakam individu lain
Aksi sekumpulan pengayuh basikal menghalang laluan bas dirakam dan tular di media sosial

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sekumpulan pengayuh basikal mencetus kontroversi selepas aksi mereka yang dikatakan menghalang laluan sebuah bas awam di Kuala Selangor tular di media sosial. Rakaman kejadian memaparkan bas tersebut tersekat di belakang sekumpulan pengayuh yang berkayuh rapat dalam kelompok besar.

Kejadian dilaporkan berlaku di Kilometer 23 Jalan Kuala Selangor–Kuala Lumpur, menghala ke Sungai Buloh, tidak jauh dari simpang lampu isyarat Batu Arang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin, pihaknya mengesan video tersebut selepas ia dimuat naik ke Facebook sekitar jam 5 petang semalam.

Baca juga:

Berkayuh secara beriringan

Siasatan awal mendapati insiden berlaku kira-kira jam 9.35 pagi Sabtu lalu. Kumpulan pengayuh berkenaan dipercayai berkayuh secara beriringan di lorong kiri, namun jumlah mereka yang ramai menyebabkan laluan kenderaan termasuk bas terganggu.

“Kes ini disiasat di bawah Peraturan 42(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana menunggang secara beriringan hingga menghalang laluan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Beliau menambah, tindakan sedemikian bukan sahaja mengganggu aliran trafik, malah boleh membahayakan semua pengguna jalan raya. Pihak polis kini sedang mengenal pasti identiti mereka yang terlibat.

Polis turut menyeru mana-mana individu yang menyaksikan kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis terdekat.

Sebagai peringatan, pihak berkuasa menegaskan kepentingan semua pengguna jalan mematuhi peraturan dan tidak mementingkan diri, lebih-lebih lagi di laluan utama yang sibuk.

Sumber: Harian Metro

Related Posts