Kes Nur Qaira Alisha: Guru berkenaan ditukar sementara tunggu siasatan | The Reporter

Kes Nur Qaira Alisha: Guru berkenaan ditukar sementara tunggu siasatan

Guru dalam kes Nur Qaira Alisha ditukar sementara menunggu siasatan KPM
Nur Qaira Alisha

Seorang guru yang dikaitkan dengan kes seorang murid perempuan berusia 11 tahun yang meninggal dunia selepas menyertai aktiviti larian sekolah telah ditukarkan ke sekolah lain, sementara siasatan lanjut berhubung kejadian itu dijalankan.

Memetik laporan Berita Harian, Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah berkata, pertukaran guru berkenaan dilakukan selepas siasatan awal dijalankan dan ia merupakan langkah intervensi awal pihak jabatan.

Menurutnya, perkara itu kini telah diserahkan kepada Unit Integriti Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tindakan selanjutnya.

“Pada masa ini, tindakan telah diserahkan kepada unit integriti Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tindakan seterusnya.

“Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu dan memberikan ruang kepada pihak JPN dan KPM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya.

Baca juga:

Sementara itu, sumber dalaman memaklumkan Nur Qaira Alisha, yang mempunyai sejarah penyakit jantung sejak kecil, jatuh sakit selepas menyertai pemilihan larian 80 meter pada 14 April lalu dan mula menerima rawatan pada 17 April, manakala aduan waris dibuat pada 10 Mei.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan Unit Integriti KPM mengambil tindakan selanjutnya berhubung kematian Nur Qaira Alisha, selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau turut dimaklumkan bahawa JPN Kedah telah menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan keluarga Allahyarham.

Related Posts