Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelakon veteran era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid kini berdepan pelbagai ujian berat bukan sahaja dari segi kesihatan, malah turut diuji dari sudut kewangan dan tempat tinggal. Namun dalam kepayahan itu, beliau tetap tidak sanggup mengorbankan masa depan dua anaknya demi mencari pendapatan segera.
Dharma, 69, menghidap pelbagai penyakit termasuk gastrik, asma, masalah jantung dan paru-paru bengkak serta tiroid. Berat badannya kini hanya 45 kilogram. Keadaannya menjadi perhatian selepas anak lelaki beliau, Muhammad Al Syafiq, memuat naik gambar ayahnya yang sedang solat dalam keadaan duduk sambil meluahkan rasa syukur dan tabah meskipun hidup dalam kekangan.
Baca juga:
- Amira Othman umum hamil 30 minggu
- Isu gelaran juara, Zaha Spring pertahan kenyataan Ameng
- Dari gurauan jadi kenyataan, lelaki sahut cabaran TokTi joging 8KM
Kenapa ada yang desak anak Dharma berhenti belajar?
Isu menjadi hangat apabila ada pihak yang mempersoalkan tindakan Syafiq dan kakaknya, Siti Qurratu Aini, yang masih meneruskan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) meskipun ayah mereka sedang sakit dan tiada sumber pendapatan tetap.
Paling mengecewakan, kata Syafiq, apabila individu yang pernah berjanji untuk membantu sewaktu ziarah sebelum ini telah menempelaknya semasa dihubungi baru-baru ini. Malah, individu tersebut mengkritik tindakan mereka yang terus belajar dan tidak bekerja.
“Saya cuma minta bantuan sebab kami diarahkan pindah rumah sebelum hujung bulan ini. Tapi dia boleh pula marah dan cakap saya patut dah kerja. Sedangkan saya baru saja habis semester dua, tinggal semester tiga hingga lima sahaja lagi,” katanya.
Syafiq yang kini di tahun pertama Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem turut menegaskan prestasinya amat baik dengan pencapaian CGPA 4.0 sebanyak dua kali. Kakaknya pula hanya tinggal satu semester sahaja sebelum tamat pengajian dan menjalani latihan industri.
Dharma tetap mahu anaknya kejar ijazah
Dalam temu bual bersama media, Dharma menegaskan beliau tidak sanggup menyuruh anak-anaknya berhenti belajar hanya kerana keadaan hidup mereka kini yang serba mencabar. Katanya, jika mereka hanya tamat SPM tanpa ijazah, peluang masa depan akan menjadi lebih terhad.
“Kalau mereka tak bagus belajar, memang saya suruh berhenti. Tapi mereka cemerlang. Pensyarah ASWARA pun mahu mereka jadi tutor lepas tamat belajar dan teruskan ke peringkat Master,” katanya.
Tambahnya, beliau sentiasa menyokong anak-anak mendalami bidang perfileman dan penulisan skrip kerana itu adalah kepakaran yang pernah menjadi kerjaya utamanya dahulu.
Rumah sewa pula perlu dikosongkan
Lebih memburukkan keadaan, keluarga Dharma kini diarahkan berpindah dari rumah sewa mereka di Wangsa Maju sebelum hujung bulan. Meskipun tiada bayaran tertunggak, pemilik rumah meminta mereka mengosongkan kediaman itu. Dharma kini dalam proses mencari rumah baharu.
“Saya suka di sini sebab kawasan ini tenang. Tapi sekarang kena cari tempat baru. Saya belum keluar cari pun, cuma akan tanya pihak pengurusan kalau ada unit kosong,” katanya.
Sumber: Harian Metro










