Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tular baru-baru ini isu kononnya rakyat Malaysia mengaku bahawa tradisi perlumbaan perahu Pacu Jalur berasal dari negara ini. Dakwaan tersebut mencetuskan kemarahan netizen Indonesia sehingga melibatkan kenyataan serius daripada pegawai kerajaan mereka, termasuk Ketua Dinas Pariwisata Riau dan beberapa tokoh lain.
Namun siasatan oleh seorang pengguna TikTok, @siprandi2, mendedahkan sesuatu yang mengejutkan. Komen-komen yang kononnya datang dari rakyat Malaysia itu sebenarnya dibuat oleh akaun yang berpangkalan di Indonesia.
Baca juga:
- Disemadikan seperti wira, anjing jalanan Kali selamatkan 30 murid daripada ular berbisa
- Video LEGO karya Mahdi Hemmat curi perhatian dunia, bawa naratif konflik semasa
- Pekerja ditahan, didakwa bakar gudang di Ontario, California
Siapa sebenarnya yang buat dakwaan?
Melalui semakan terhadap beberapa akaun TikTok seperti ‘GEULANTEU TAK’, ‘WILDAN’, ‘lana ya’, dan ‘yuliaanisa_’, semuanya didapati berdaftar dari negara Indonesia berdasarkan maklumat teknikal yang diperoleh dari bot @tiktokinfobot. Walaupun mereka menggunakan nama dan bendera Malaysia dalam profil untuk meyakinkan orang ramai, data menunjukkan mereka adalah warga Indonesia.
Ironinya, tindakan menyamar ini berjaya memperdaya sebahagian besar netizen Indonesia termasuk tokoh berprofil tinggi seperti bekas menteri dan gabenor yang mempercayai seolah-olah rakyat Malaysia benar-benar cuba ‘merampas’ budaya Pacu Jalur.








Reaksi melulu, tanpa semak fakta
Beberapa portal berita dan kenyataan rasmi dari Indonesia pantas mengecam Malaysia dengan menyebut Pacu Jalur merupakan budaya eksklusif dari Kuantan Singingi, Riau. Ketua Dinas Pariwisata Riau, Roni Rakhmat, menyatakan bahawa tradisi itu sudah wujud sejak zaman nenek moyang dan sedang dalam proses pencalonan sebagai warisan budaya UNESCO.
Namun yang menjadi persoalan ialah, adakah semua ini perlu dibahaskan jika puncanya hanyalah komen palsu dari akaun penyamar?
Banyak media Indonesia tidak menyemak asal usul komen tersebut, sebaliknya terus menuduh Malaysia tanpa bukti kukuh. Ini menimbulkan persoalan, adakah kemarahan yang tercetus sebenarnya bersandarkan fakta atau hanya reaksi emosi terhadap provokasi buatan?
Adakah benar Malaysia pernah mengaku Pacu Jalur sebagai warisan negara?
Tiada sebarang kenyataan rasmi dari kerajaan Malaysia yang pernah menuntut Pacu Jalur sebagai budaya negara. Malah, tradisi ini sememangnya diketahui berasal dari kawasan Riau yang berada dalam budaya rumpun Melayu – yang turut dikongsi oleh negeri-negeri di Malaysia.
Justeru, kekeliruan budaya antara dua negara serumpun ini tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyebarkan tuduhan melulu apatah lagi jika hanya bersandarkan komen dari akaun palsu.
Sumber: Pacu Jalur Street, Detik Travel, Suara, Folkative











