‘Jika Israel lenyap, Timur Tengah akan hancur’ – Netanyahu beri amaran | The Reporter

‘Jika Israel lenyap, Timur Tengah akan hancur’ – Netanyahu beri amaran

Benjamin Netanyahu sedang berucap di podium berlatar belakang bendera Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mendakwa Iran kini menjadi ancaman paling besar terhadap keselamatan Israel dan kestabilan Timur Tengah, melebihi cabaran Arab yang pernah memuncak sebelum ini.

Dalam satu ucapan kepada barisan kepimpinan tentera, beliau merincikan tiga strategi utama yang menurutnya sedang digerakkan oleh Tehran bagi memastikan Israel lenyap dari peta dunia.

Menurut Netanyahu, pendekatan pertama dinamakan sebagai “lingkaran sekatan”, iaitu perancangan membina paksi sekutu di sekitar sempadan Israel bagi melaksanakan kepungan dan serangan serentak.

Pendekatan kedua melibatkan pembangunan ancaman peluru berpandu jarak jauh yang boleh melumpuhkan pertahanan strategik negara itu. Manakala pendekatan ketiga lebih berbahaya iaitu usaha Iran membangunkan keupayaan senjata nuklear.

Beliau menjelaskan, matlamat utama Iran bukanlah semata-mata menghancurkan Israel. Namun, dalam percaturan kuasa mereka, kewujudan Israel menjadi penghalang utama kepada cita-cita dominasi penuh Timur Tengah.

“Inilah sebab utama kewujudan rejim itu. Ini bukan satu-satunya pendorong mereka mahu memusnahkan kita dan kita bukan sasaran terakhir mereka. Tetapi untuk mencapai matlamat mereka yang lebih besar, mereka mesti menghapuskan Israel,” katanya.

Timur Tengah akan musnah

Netanyahu turut memberi amaran sekiranya Israel tewas atau musnah, Timur Tengah akan runtuh dalam kekacauan. Beliau menyifatkan Israel sebagai benteng terakhir yang mengekang pengaruh ekstremis dan keganasan di rantau tersebut.

Dalam nada yang lebih tegas, Netanyahu berkata, “Anda tidak boleh menakluki Timur Tengah tanpa memusnahkan Israel terlebih dahulu. Jika Israel lenyap, Timur Tengah akan serta-merta jatuh ke dalam kehancuran.”

Beliau juga berkata Israel akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan sokongan Amerika Syarikat. Namun, menurutnya, bantuan Amerika bukan satu keperluan wajib sebelum Israel mengambil tindakan.

Menutup ucapannya, Netanyahu memuji tindakan ketenteraan Israel yang disifatkan sebagai pencapaian luar biasa yang akan dicatat dalam sejarah negara dan menjadi rujukan tentera dunia pada masa hadapan. Beliau turut mendakwa kejayaan operasi itu memberi kesan positif kepada ekonomi Israel yang sudah mula dirasai rakyat. – Agensi

Related Posts