'Berani, bukan bodoh dan kurang ajar', Dr Akmal kecam mahasiswa bakar karikatur PMX | The Reporter

‘Berani, bukan bodoh dan kurang ajar’, Dr Akmal kecam mahasiswa bakar karikatur PMX

Dr Akmal Saleh mencabar mahasiswa bakar karikatur PMX berjumpa dengannya.
Tegasnya, walaupun perbezaan politik, tidak wajar pemimpin diperlakukan begitu. Gambar: FB Dr Akmal Saleh

Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mengecam tindakan sekumpulan mahasiswa yang membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 anjuran Suara Mahasiswa UMS, yang berlangsung di sini pada Sabtu lalu.

Menurut Akmal, meskipun perbezaan politik adalah perkara biasa, tindakan tersebut tidak wajar dan mencerminkan sikap kurang ajar dalam kalangan mahasiswa terbabit.

“Bagaimana kita marah apabila gambar pemimpin negara kita dahulu diperlakukan sebegitu hina, begitulah juga kita harus marah apabila pemimpin hari ini meskipun berlainan parti diperlakukan dengan cara yang sama.

“Pejuang perlu berani, tetapi bukan bodoh dan kurang ajar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau turut menempelak sikap segelintir mahasiswa yang kononnya menonjolkan keberanian, namun mengabaikan nilai adab dan kesopanan.

“Berani bukan bermakna kita harus hilang adab sebagai manusia. Kepada adik mahasiswa yang rasa berani kerana berjaya membakar gambar PMX, anda sebenarnya seorang yang bacul dan bodoh,” tegasnya.

Akmal turut mencabar individu terbabit untuk bertemu dengannya secara bersemuka sekiranya tidak berpuas hati dengan kenyataan beliau.

“Jika tidak berpuas hati dengan kenyataan saya, boleh aturkan perjumpaan dengan saya. Saya memang nak sangat berjumpa dengan adik-adik mahasiswa ini,” katanya.

Related Posts