Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Netanyahu lawat pusat penyelidikan yang musnah, tuduh Iran sebagai ‘rejim jahat’
• Institut Weizmann rugi lebih $500 juta, ribuan data kajian dilaporkan hilang
• Negara Barat gesa rundingan damai, bimbang konflik Israel-Iran makin memburuk
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan Iran sebagai “rejim jahat” ketika melawat Institut Sains Weizmann yang musnah akibat serangan peluru berpandu awal minggu ini. Serangan itu berlaku ketika konflik ketenteraan antara kedua-dua negara terus memuncak, mencetuskan kebimbangan serantau dan antarabangsa.
Lawatan Netanyahu ke Rehovot itu menyusul selepas beberapa lokasi penting di Israel, termasuk hospital dan pusat penyelidikan, menjadi sasaran serangan balas Iran yang dilaporkan sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Israel ke wilayah Iran sebelum ini.
Dakwaan Netanyahu terhadap Iran
Dalam kenyataannya kepada media, Netanyahu berkata, “Ini adalah Institut Weizmann yang terkenal di dunia, tempat kajian paling maju tentang biologi manusia dijalankan, termasuk penyelidikan perubatan dan genetik. Penyelidikan ini dimusnahkan oleh peluru berpandu dari rejim jahat. Mereka mahu menghancurkan kemajuan manusia. Itulah hakikat rejim ini.”
Beliau turut mendakwa Iran sebagai “rejim pengganas nombor satu dunia” dan menegaskan Israel tidak boleh membiarkan negara itu memiliki senjata nuklear.
Namun kenyataan tersebut dilihat sesetengah pihak sebagai usaha politik Israel untuk mendapatkan sokongan global, terutama dalam menghadapi tekanan antarabangsa susulan tindakannya melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran baru-baru ini.
Kerosakan besar pada pusat penyelidikan
Institut Sains Weizmann yang terkenal dalam bidang kajian kanser, jantung dan otak, mengalami kerosakan teruk selepas dua bangunan penyelidikannya dilaporkan musnah sepenuhnya. Profesor Oren Schuldiner berkata, “Ia musnah sepenuhnya. Tiada yang tinggal. Tiada apa yang boleh diselamatkan.”
Pihak institut mendakwa kerugian melebihi $500 juta dan beribu-ribu jam penyelidikan turut musnah, termasuk sampel penyelidikan yang disimpan selama berdekad-dekad.
Trump beri tempoh 14 hari kepada Iran
Ketegangan antara Israel dan Iran kini menjadi kebimbangan global. Presiden AS, Donald Trump memberi tempoh 14 hari untuk memutuskan sama ada akan campur tangan secara ketenteraan. Dalam masa yang sama, Kesatuan Eropah dan Britain mengadakan rundingan tergempar bersama wakil Iran bagi meredakan konflik.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot menyatakan matlamat sekutu Barat adalah untuk menggesa Iran hentikan program nuklear dan peluru berpandu, namun pemerhati antarabangsa turut menyuarakan kebimbangan terhadap sikap agresif Israel yang dikatakan mencetuskan konflik lebih besar. – Agensi








