Afieq Shazwan nafi terlibat dalam kes amang seksual | The Reporter

Afieq Shazwan nafi terlibat dalam kes amang seksual

Afieq Shazwan beri penjelasan selepas dikaitkan dengan dakwaan kes amang seksual remaja perempuan.
Afieq Shazwan tampil bersuara selepas namanya dikaitkan dengan kes amang seksual. Gambar: Instagram Afieq Shazwan

Penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan menafikan dirinya terlibat dalam kes amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun yang sedang hangat diperkatakan.

Memetik laporan Harian Metro, Afieq atau nama sebenarnya Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 27, berkata dia menerima banyak panggilan dan mesej daripada pihak media serta kenalan yang ingin mendapatkan kepastian selepas namanya dikaitkan dengan kes tersebut.

“Ada yang kata saya individu itu berdasarkan drama yang pernah saya lakonkan. Selain itu, umur dan tarikh lahir kami juga hampir sama. Tapi sejujurnya, saya tak tahu apa-apa dan itu bukan saya,” katanya.

Tambah Afieq, dia memilih untuk tidak mengulas lebih awal kerana bimbang mengguris perasaan mana-mana pihak dan demi menjaga hati rakan artis lain.

“Saya sangat terkejut bila dengar nama selebriti dikaitkan dengan kes ini. Tapi saya tak mahu terlalu fikir kerana risau jadi fitnah. Saya faham kenapa orang mula berteka-teki dan menuding jari,” katanya lagi.

Penyanyi lagu Lelaki Di Telefon dan pelakon drama Rampas Cintaku itu turut menyeru rakan-rakan artis supaya menjaga tingkah laku dan nama baik mereka sebagai ikon kepada masyarakat.

“Sebagai public figure, kita perlu jaga diri dan karier kita. Ramai yang meminati hasil kerja kita, jadi tolonglah jaga nama baik dan elakkan perkara yang boleh menjejaskan reputasi,” katanya.

Terdahulu, tular mengenai laporan selebriti yang merupakan penyanyi dan pelakon lelaki terkenal ditahan atas dakwaan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja di sebuah hotel.

Mangsa dipercayai mengenali artis itu di tempat kerjanya sebelum kejadian berlaku. Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Related Posts