Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pertukaran surat antara dua jiran di sebuah pangsapuri jadi tular selepas satu teguran tentang bunyi lesung batu bertukar menjadi sindiran pedas yang menghiburkan netizen.
Insiden itu bermula apabila seorang penghuni menampal surat di dalam lif menegur jirannya yang dikatakan kerap menumbuk cili dengan lesung batu, sehingga menimbulkan bunyi bising. Dalam surat tersebut, dia mencadangkan supaya jiran itu menggunakan blender yang lebih senyap, siap beritahu boleh beli di Shopee.
“Jangan pentingkan diri. Awak boleh guna blender, dah banyak jenis murah kat Shopee. Kita doakan awak sedar dan beringat akan hidup berjiran di rumah pangsa ini,” tulisnya.
Namun tak lama selepas itu, muncul pula surat balasan dipercayai daripada ‘pemilik lesung batu’ sendiri yang tidak kurang pedas nadanya.
Dalam surat balas yang ditampal di tempat sama, penghuni itu menyindir si penegur sebagai pemalas, katanya “tak nak penat” sebab guna blender. Dia menegaskan, walau diketuk berkali-kali, dia akan tetap setia dengan lesung batu, sambil menyelitkan ayat-ayat sarkastik yang buat pembaca tak kering gusi.
“Saya guna lesung batu sebab saya ada tenaga. Tak macam awak, semua nak senang, semua nak cepat,” tulisnya.

Pertukaran surat itu bukan sahaja mengundang ketawa netizen, malah mencetuskan perbualan tentang norma hidup berjiran di kawasan berpenduduk padat. Ramai memuji cara sindiran yang lucu tetapi masih kekal dalam batas sopan.
Meskipun nampak seperti isu remeh, insiden ini membuka perbincangan tentang toleransi dalam komuniti, terutama bila melibatkan perbezaan gaya hidup antara generasi dan latar belakang berbeza.