Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bagi umat Islam, panggilan ke Baitullah merupakan satu peluang yang ditunggu-tunggu. Ada yang menitiskan air mata apabila usaha mereka untuk menabung ke tanah suci akhirnya tercapai.
Namun, tidak kurang juga yang menerima rezeki luar jangka termasuk melalui jemputan istimewa daripada pihak tertentu.
Bgitu juga rezeki yang tidak terduga diterima oleh seorang pempengaruh dari Indonesia. Muhammad Cecep Abdullah, akan menunaikan haji bukan sebagai jemaah biasa, tetapi sebagai tetamu jemputan Kerajaan Arab Saudi.
Memetik laporan detikJabar, kisah bermula dua bulan lalu, selepas umrah ketiganya yang ditaja oleh seorang pelabur. Cecep menerima panggilan mengejutkan apabila namanya tersenarai sebagai jemaah haji undangan 2025.
Sejak tahun 2024, Cecep sering membaca berita mengenai mereka yang dijemput ke Tanah Suci. Sejak itu, beliau mula berdoa bersungguh-sungguh, terutamanya semasa umrah terakhirnya di Raudhah.
“Doa saya masa tu, ‘Ya Allah, jemput aku ke haji 2025, apa pun caranya,’” katanya.
Kemudian pada 14 Mei, Cecep dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp jemaah haji undangan, dan dari situ barulah dia yakin undangan itu benar.
“Baru rasa betul-betul akan berangkat,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Cecep Abdullah tular kerana sering memuat naik konten membersihkan tandas-tandas masjid. Menggunakan nama cleaner masjid di TikTok, akaun TikToknya kini sudah mempunyai 1.4 juta pengikut.
Jemputan ke tanah suci membuatkan Cecep masih terkejut dan menganggap jemputan ini merupakan undangan dari Allah.
“Saya pun tak tahu dinilai dari sudut mana. Ramai lagi yang lebih rajin bersihkan masjid dan bersedekah. Mungkin ini memang undangan dari Allah,” katanya.
Difahamkan, Cecep dijadualkan berangkat ke Tanah Suci pada 29 Mei ini, bersama jemaah-jemaah jemputan lain dari pelbagai wilayah.








